am@hmetro.com.my
Pontian: “Saya dah beritahu tak payah pergi sebab sekolah tutup hari ini. Tapi mereka berdua beria-ia dan berkeras hendak pergi juga,” kata Julaiha Munaji, ibu kepada tiga beradik yang meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan motosikal dan lori di Jalan Parit Haji Sirat, di sini, pagi hari ini.
Menurutnya, kerana dua anaknya itu berkeras mahu ke sekolah, abang mereka tolong hantarkan untuk puaskan hati dan tunjuk memang sekolah tutup.
“Tapi apakan daya, dalam perjalanan pulang mereka terbabit kemalangan.” katanya.
Menurut Julaiha, 42, dia sudah memaklumkan kepada anaknya, Nor Daniel Fikri Norlizan, 11, dan Puteri Naufal Raisya, 8, supaya tidak perlu ke sekolah kerana semua sekolah di Johor ditutup susulan jerebu.
Bagaimanapun, katanya, kedua-dua anaknya tetap berkeras mahu pergi dan abangnya, Nor Daniel Aiman, 18, terpaksa membawa mereka untuk membuktikan sekolah sememangnya ditutup.
“Saya dimaklumkan, mereka berpatah balik apabila mendapat tahu sekolah tutup.
“Sekolah mereka dengan rumah terletak kira-kira dua kilometer. Saya mendapat berita selepas ada penduduk datang memberitahu motosikal dinaiki anak saya kemalangan.
“Kejadian berlaku hanya 200 meter dari rumah kami. Suami dan anak sulung terus bergegas ke lokasi untuk mengetahui perkembangan mereka.
“Bagaimanapun, semua anak sudah dibawa ke Hospital Pontian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Haji Sirat, di sini.
Dalam perkembangan lain, Julaiha yang juga ibu kepada enam anak itu berkata, ketiga-tiga anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan dan masih ceria sebelum keluar rumah.
“Nor Daniel Fikri ada beritahu dia nak main bola. Dia siap basuh kasut yang saya baru beli.
“Ketiga beradik itu sangat rapat dan malam sebelum kejadian, mereka masih tidur bersama keluarga.
“Nor Daniel Aiman seorang pendiam, tapi kalau dengan saya dia suka bergurau. Mereka semua rapat.
“Aiman yang dibawa menaiki ambulans, namun disahkan meninggal dunia di hospital.
“Empat bulan lalu, saya kemalangan selepas hantar anak ke sekolah. Nor Daniel Aiman banyak tolong saya, termasuk menghantar adik-adiknya ke sekolah,” katanya.
Tiga beradik itu dilaporkan meninggal dunia selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori pada jam 7 pagi.
Kemalangan itu berlaku pada hari pertama penutupan sesi persekolahan di Johor selama dua hari susulan kemerosotan kualiti udara akibat jerebu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




