Hairee Kool saran Kim akui status

Hairee Kool saran Kim akui status

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Anggota kumpulan Kool, Hairee, 57, mengaku menyarankan kepada anaknya iaitu penyanyi dan pengacara, Kim Khairi, 23, agar memaklumkan sahaja status sudah berkahwin dan memiliki seorang anak.

Hairee atau nama sebenar, Mohd Khairi Yaakob berkata walaupun menghormati pilihan Kim yang juga anaknya bersama bekas isteri, Safura Yaacob untuk bergelar insan seni, namun status diri tidak perlu disembunyikan.

“Saya tahu senario peminat di Malaysia yang mana artis sudah berkahwin akan ‘turun saham’ dan kurang diminati, tetapi untuk anak saya, Kim adalah lebih baik dia berterus-terang sahaja statusnya.

“Ketika dia (Kim) menyertai Talk To My Manager musim kedua (TTMM 2) itu, apabila ada media sudah tahu Kim berkahwin, dia sendiri ada bertanya pendapat daripada saya untuk menangani perkara itu.

“Saya cakap kepada dia (Kim), mengaku sahaja beritahu sudah berkahwin dan ada anak. Ringkas sahaja dan tidak perlu penjelasan panjang lebar, sebab itu pun yang orang nak tahu,” katanya kepada Harian Metro.

Ujar Hairee, dia juga melihat peminat sekarang ramai sudah bersikap terbuka dan dapat menerima status seseorang artis itu yang berkahwin dan memiliki anak kerana paling penting jangan menipu atau berahsia.

Terdahulu, Kim atau nama sebenar, Muhammad Daniel Khaqim Mohd Khairi adalah pemenang tempat kelima dalam TTMM 2 yang kemuncak program berlangsung pada 21 Jun lalu.

Ditanya juga perkembangan dirinya, Hairee berkata dia masih lagi aktif menyanyi walaupun tawaran diterima tidak sebanyak ketika masa muda dulu, tetapi membantu juga untuk menyara kehidupan.

“Alhamdulillah, rezeki menyanyi saya masih ada lagi, dan bolehlah untuk sedikit sebanyak menyara kehidupan. Saya sedia sahaja terima tawaran yang bayaran berpatutan walaupun ada penganjur menawarkan RM500.

“Cuma, kalau bayaran RM500 itu memang saya tidak ambil kerana terlalu rendah bagi tahun 2026 sekarang. Kalau dulu sekitar 1990-an mungkin saya boleh terima, tetapi kini perbelanjaan harian dan bulanan pun tinggi.

“Saya juga walaupun kini berstatus duda, tetapi masih ada dua anak yang bersekolah rendah, dan perlu ditanggung. Jadi, apa-apapun saya tetap kena aktif menyanyi selain ada juga buat kerja lain,” katanya ditemui pada sidang media Hitea KARYAWAN, baru-baru ini.

Acara Hitea KARYAWAN bakal berlangsung di Hotel Steg Kuala Lumpur pada 24 Oktober ini bermula jam 12 tengahari membabitkan barisan penyanyi seperti Zur Eda, Datin Ramziela, Aishah Hanim, Helmi Gimmick dan Rahmat Mega.

Mensasarkan kira-kira 500 penonton, program hiburan bulanan anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) itu menetapkan harga tiket berpatutan, RM85 dengan disediakan hidangan hi-tea.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top