Belanjawan 2027: ‘Saya mahu bajet yang besar untuk KKM’ – Elizabeth Tan

Belanjawan 2027: ‘Saya mahu bajet yang besar untuk KKM’ – Elizabeth Tan

PUTRAJAYA – Penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan berharap kerajaan memberi peruntukan besar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam Belanjawan 2027, terutama bagi memperbaiki kemudahan hospital serta kebajikan petugas kesihatan.

Menurutnya, harapan itu hadir berdasarkan pengalaman suaminya, Dr Siew Jim Ding dan pernah berkhidmat dengan kerajaan selama kira-kira enam hingga tujuh tahun.

“Suami saya seorang doktor, kerja dengan kerajaan selama enam hingga tujuh tahun dan dia cerita macam-macam apa yang dia dan kawan-kawannya lalui.

“Hospital di pedalaman yang uzur, fasiliti tidak lengkap dan ramai doktor bekerja terlalu banyak,” katanya kepada Sinar Harian.

Elizabeth berkata, suaminya juga pernah berkhidmat di Sabah dan pengalaman yang dikongsikan kepadanya membuatkan beliau memahami cabaran yang dihadapi petugas kesihatan, khususnya mereka yang bekerja dalam keadaan kekurangan tenaga kerja.

Katanya, antara perkara yang paling memberi kesan kepadanya adalah kisah seorang rakan serumah suaminya yang meninggal dunia selepas terlalu penat bekerja.

“Rakan sekerja meninggal dalam kereta sebab terlalu penat. Dia tertidur dalam kereta selepas on-call selama tiga hari.

“Jadi, doktor yang terlalu bekerja, gaji tidak setimpal dan kekurangan staf, saya harap kalau boleh, saya mahu bajet yang besar untuk KKM,” katanya.

Elizabeth berkata, isu kebajikan doktor dan petugas kesihatan wajar diberi perhatian kerana mereka merupakan antara barisan hadapan yang memastikan perkhidmatan kesihatan terus berjalan.

 

Scroll to Top