Bachok: Anjing yang tidak mempunyai tag pengenalan vaksinasi atau gagal mendapatkan suntikan vaksin antirabies selepas April setiap tahun boleh dikenakan tindakan, termasuk dilupuskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan bagi membendung risiko penularan jangkitan rabies.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah berkata, ketetapan itu selaras dengan Perintah Pemvaksinan Pencegahan Penyakit Anjing Liar Kelantan yang mewajibkan pemilik memastikan anjing peliharaan menerima suntikan vaksin antara Januari hingga April setiap tahun.
Beliau berkata, setiap anjing yang divaksin akan diberikan tag logam pengenalan bernombor sebelum dilesenkan dengan PBT manakala haiwan yang tidak mempunyai tag berkenaan atau gagal divaksin selepas April boleh dikenakan tindakan.
“Menerusi perintah berkenaan, semua pemilik anjing diwajibkan memastikan haiwan peliharaan mereka menerima suntikan vaksin dalam tempoh Januari hingga April pada setiap tahun bagi mencegah penularan rabies,” katanya pada sidang media selepas merasmikan latihan Hands-On Prosedur Tetap Operasi (PTO) Program Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut di Kampung Kual Besar, Gunong di sini, hari ini.
Hilmi berkata, Kelantan yang bersempadan dengan Thailand turut berdepan risiko penularan rabies berikutan kemungkinan pergerakan anjing merentasi sempadan kedua-dua negara.
Beliau berkata, kejadian kematian yang dilaporkan di Kubang Pasu, Kedah bulan lalu serta satu kes membabitkan seorang kanak-kanak di Kelantan pada awal bulan ini menjadi peringatan mengenai bahaya penyakit berkenaan yang boleh membawa maut.
Menurut Hilmi, PBT dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) turut menjalankan operasi menangkap anjing liar secara berkala, dengan dua daripada lima ekor anjing yang dikenal pasti berjaya ditangkap dan dilupuskan setakat ini.
“Bagi tahun ini, sebanyak 21 ekor anjing di Bachok telah diberikan suntikan vaksin manakala sampel daripada 20 ekor lagi diambil untuk tujuan pemeriksaan rabies,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Hilmi meminta semua pemilik anjing memastikan haiwan peliharaan mereka divaksin, dilesenkan dengan PBT dan tidak dibiarkan berkeliaran bagi menjamin keselamatan orang ramai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




