Aina Abdul pertaruh lagu Bluest Sky, wakil negara ke Eurovision Asia

Aina Abdul pertaruh lagu Bluest Sky, wakil negara ke Eurovision Asia

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer, Aina Abdul, 33, menyifatkan dirinya sebagai atlet daripada industri hiburan yang terpilih mewakili Malaysia dalam pertandingan Eurovision Asia 2026 pada 14 November depan.

Aina atau nama sebenar, Nurul Aina Abdul Ghani bakal berentap dengan penyanyi Asia lain yang mewakili negara masing-masing pada acara nyanyian berprestij itu yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand.

Ujar Aina, dia memilih untuk mempertaruhkan lagu terbaharu ciptaannya dalam bahasa Inggeris berjudul Bluest Sky yang diinspirasi daripada kisah sebenar mengenai luahan persaannya terhadap cinta dan kasih sayang.

“Selepas selesai Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) lalu, otak saya memang fikirkan Eurovision sahaja, dan sebenarnya tidak tidur malam juga sebab sibuk menghasilkan lagu yang agak banyak sudah saya cipta.

“Tetapi, lagu Bluest Sky ini yang istimewa dan jadi pilihan saya kerana melodi, susunan muzik dan liriknya dirasakan menepati elemen untuk Eurovision dengan kisah umpama surat cinta atau bahasa cinta daripada saya.

“Lagu ini juga memiliki elemen muzik nusantara yang saya ambil masa kira-kira sebulan untuk menyiapkannya, termasuk proses rakaman yang lama iaitu 10 jam berbanding lagu-lagu saya sebelum ini yang selesai dirakam dalam tempoh dua jam sahaja.

“Kali ini untuk lagu Bluest Sky memang saya lebih teliti dalam semua aspek kerana ia dipertaruh untuk mengharumkan nama Malaysia ke peringkat Asia yang bagi saya adalah peluang sangat bermakna, sekali dalam seumur hidup saya.

“Harapan saya agar lagu Bluest Sky ini juga dapat diterima baik oleh semua peminat dan pendengar muzik tanah air, dan kenapa saya memilih hasilkan liriknya dalam bahasa Inggeris kerana ia bahasa universal serta mudah difahami ramai,” katanya.

Menurut Aina, keputusan dibuat itu bukan bermakna dia tidak mencintai bahasa Melayu, tetapi mengambil kira untuk membawa lagu Bluest Sky merentas pasaran luar negara dan peringkat antarabangsa.

Terdahulu, Aina ditemui pada sesi pra dengar eksklusif lagu Bluest Sky diadakan di Rex KL, Petaling Street, Kuala Lumpur pada petang ini dan lirik video lagu akan dimuatnaik di YouTube pada pagi esok.

Berbicara lanjut, Aina berkata dia juga berterima masih dengan pihak TV3 dan Media Prima Berhad (MPB) kerana sudi memilih dan memberi peluang besar kepadanya untuk bersaing membawa nama Malaysia di pentas Eurovision Asia 2026.

“Saya mohon doakan yang baik-baik buat saya kerana ini tanggungjawab berat yang saya harus galas untuk negara, dan dirasakan umpama saya adalah seorang atlet sukan tetapi dalam bidang hiburan. Semoga negara kita berjaya.

“Teruskan sokongan positif kalian semua terhadap lagu Bluest Sky ini dan saya sedia terima segala komen-komen ditinggalkan wargamaya dan harapnya biarlah kritikan itu yang baik-baik serta membina,” katanya tenang.

Menurut Aina, bagi melancarkan segala persediaannya di Eurovision Asia 2026 itu nanti, dia menjangkakan akan membawa pasukan seramai lebih puluhan orang bagi memudahkan segala urusan, termasuk mungkin harus keluarkan bajet berpatutan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top