Suami isteri maut nahas tidak sempat ziarah pusara bapa

Suami isteri maut nahas tidak sempat ziarah pusara bapa

TUMPAT: Hasrat sepasang suami isteri pulang ke kampung menziarahi pusara bapa tidak kesampaian apabila mereka maut dalam nahas di Jalan Sungai Buloh, berhampiran susur masuk ke Sierramas, Petaling Jaya, Selangor petang semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kemalangan itu, jururawat, Noor Atirah Yacob, 32, dan suaminya, Mohd. Zulilazwan Zulkifli, 32, yang bekerja sebagai juruelektrik pendingin hawa meninggal dunia selepas motosikal yang mereka naiki terlibat nahas dengan sebuah lori.

Ibu Allahyarham Noor Atirah, Noriah Yusoff, 74 berkata, arwah yang merupakan anak ke-10 daripada 11 beradik itu ada memaklumkan mahu pulang ke Kelantan pada 17 Oktober ini kerana sudah lama tidak menziarahi pusara bapanya.

Katanya, dia tidak sabar hendak berjumpa dengan cucunya, Ian Hijazi Mohd. Zulilazwan, 6, selepas kali terakhir mereka pulang pada 28 Ogos lalu untuk melihat kakaknya, Zunaidah Yacob, 53, menjalani pembedahan kecil.

“Saya tahu mengenai kemalangan itu apabila dimaklumkan oleh penduduk kampung selepas nahas itu tular dalam media sosial susulan orang ramai mengesan waris mangsa.

“Saya pitam seketika kerana terkejut dan tidak menyangka mangsa yang maut dalam kemalangan itu adalah anak dan menantu,” katanya di rumahnya di Kampung Geting di sini, hari ini.

Noriah berkata, Allahyarham Noor Atirah sering menghubunginya melalui panggilan video, namun sudah dua malam dia tidak berbuat demikian.

Katanya, arwah sebelum ini turut memaklumkan hasratnya untuk menimang cahaya mata kedua namun belum diberikan rezeki kerana mempunyai masalah kesihatan.

“Saya reda dengan kehilangan anak dan menantu. Saya akan menjaga cucu bersama dengan besan selepas ini,” katanya.

Menurutnya, jenazah anak dan menantunya selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Neting pukul 10 pagi ini.

Media sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri maut apabila motosikal ditunggang mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Sungai Buloh berhampiran susur masuk ke Sierramas. – UTUSAN

 

 

Scroll to Top