am@hmetro.com.my
Putrajaya: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperkukuh aspek keselamatan dan kebajikan penuntut politeknik, termasuk mereka yang tinggal di luar asrama, susulan kematian seorang penuntutnya di Jalan Air Putih di sini, Selasa lalu.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Aminuddin Hashim, berkata pihaknya menyerahkan siasatan kejadian berkenaan kepada polis, selain mengarahkan kaunselor berdaftar membantu waris mangsa serta penuntut lain yang terkesan.
Menurutnya, pasukan Kaunselor On Wheel juga sudah digerakkan ke Kuantan bagi memberi bimbingan psikologi dan sokongan kepada penuntut yang mungkin mengalami trauma akibat kejadian berkenaan.
“Kita perlu membabitkan semua komuniti pendidikan tinggi dan masyarakat untuk bersama-sama dalam hal ini kerana kita faham penuntut lain mungkin tertekan dan trauma dengan berita seperti ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program perasmian Industry Nexus 2026 (INDex), di sini hari ini.
Selasa lalu melaporkan, seorang penuntut wanita berusia 19 tahun ditemui maut, dipercayai dicekik teman lelakinya selepas mereka bertengkar di sebuah rumah di Air Putih.
Suspek berusia 19 tahun yang berada di rumah itu kemudian ditahan polis untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Dr Shamsuri Abdullah berkata, pihak politeknik turut diminta memberi perhatian terhadap kebajikan dan keselamatan penuntut yang tinggal di luar kampus.
Menurutnya, kejadian berkenaan disifatkan sebagai kes terpencil, namun pihaknya mahu mengambil iktibar bagi memastikan langkah pencegahan dan sokongan kepada penuntut terus diperkasakan.
Katanya, pihak institusi juga sentiasa menasihatkan mereka supaya menjaga diri dan hubungan dengan rakan-rakan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kapasiti asrama politeknik dan kolej komuniti ketika ini masih terhad dan belum mampu menempatkan keseluruhan penuntut.
Katanya, kadar penempatan asrama ketika ini sekitar 50 hingga 70 peratus, menyebabkan sebahagian mereka terpaksa tinggal di luar kampus.
“Kementerian menyasarkan 70 peratus penuntut politeknik dan kolej komuniti dapat ditempatkan di asrama dan perkara ini akan dilihat dari semasa ke semasa untuk menambah fasiliti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




