PRN Melaka: PH hampir pasti tanding 18 hingga 21 kerusi, tidak tolak sasar semua 28 DUN

PRN Melaka: PH hampir pasti tanding 18 hingga 21 kerusi, tidak tolak sasar semua 28 DUN

am@hmetro.com.my

Melaka: Pakatan Harapan (PH) hampir pasti akan bertanding sekurang-kurangnya 18 hingga 21 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, kata Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan meletakkan calon di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jika keadaan memerlukan.

Katanya, perkara itu antara beberapa senario yang sedang dipertimbangkan pihaknya sebelum keputusan muktamad dibuat oleh Majlis Presiden PH.

“Jumlah (asas) yang hampir pasti adalah sekurang-kurangnya 18 kerusi dan maksimum 21 kerusi.

“Namun, jika keadaan terpaksa (sekiranya PH bertanding tanpa bergabung dengan parti lain), mungkin kita bertanding 28 (kerusi).

“Itu yang sedang dipertimbangkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Bilik Gerakan Utama PH Negeri Melaka, di Bukit Baru, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PH Negeri Melaka yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Pengerusi DAP Melaka yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Pengerusi AMANAH Negeri Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, pihaknya sudah mengemukakan beberapa pilihan kepada pimpinan utama termasuk senario PH bertanding secara solo, membentuk gabungan besar atau bekerjasama dengan parti lain.

Namun, katanya, segala keputusan akhir akan ditentukan Majlis Presiden PH dan pimpinan pusat.

“Kita sudah maklumkan semua pertimbangan dan kesan kepada pimpinan pusat, jadi kita tunggu arahan serta keputusan akhir daripada mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata, senarai calon PH kini sedang dimuktamadkan oleh parti komponen masing-masing dan pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam tempoh lebih seminggu lagi.

Menurutnya, PH menjangkakan keputusan berhubung strategi pilihan raya dan calon dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat, mengambil kira tempoh PRN yang semakin hampir.

Katanya, pihaknya kini menunggu tarikh rasmi serta kesediaan Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi menghadiri majlis pengumuman berkenaan.

“Nama-nama sedang dimuktamadkan, setiap parti sedang muktamadkan… Dalam tradisi PH, calon ditentukan daripada komponen masing-masing.

“Walaupun saya pengarah pilihan raya, namun saya bukan menentukan semua. Ia akan ditandatangani oleh PM atau Pengerusi PH,” katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), Amirudin berkata, perkara itu masih dipertimbangkan dan beliau tidak mahu membuat kesimpulan awal mengenai bentuk kerjasama yang bakal berlaku.

“Dia terbuka tapi berkunci,” katanya ketika ditanya mengenai kenyataan BN bahawa ruang rundingan masih terbuka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top