SPRM kukuh pendekatan pencegahan, tangani risiko rasuah lebih awal

SPRM kukuh pendekatan pencegahan, tangani risiko rasuah lebih awal

mhafis@mediaprima.com.my

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menekankan kepentingan memperkukuh usaha pencegahan rasuah secara lebih awal dengan mengenal pasti dan menangani risiko serta kelemahan yang berpotensi membuka ruang kepada rasuah sebelum berkembang menjadi masalah yang lebih serius.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata kejayaan SPRM tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan jumlah kes yang disiasat, tangkapan atau pertuduhan, sebaliknya turut dinilai berdasarkan hasil, perubahan dan impak tindakan yang dilaksanakan.

“Kerjasama antara fungsi penguatkuasaan dan pencegahan perlu terus diperkukuh supaya maklumat, risikan serta pengalaman dapat dikongsi dan diterjemahkan kepada tindakan yang lebih pantas, tepat dan berkesan,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Pengarah-Pengarah SPRM Bil. 3/2026 di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Menurutnya, tumpuan perlu diberikan kepada aspek yang berpotensi mewujudkan risiko rasuah, termasuk kelemahan proses kerja, ruang budi bicara, akses kepada sumber serta keberkesanan kawalan dan mekanisme pemantauan sedia ada.

“Teknologi, data dan analitik juga perlu dimanfaatkan secara optimum bagi membantu SPRM mengenal pasti pola, trend dan risiko dengan lebih awal, sekali gus membolehkan tindakan pencegahan dan intervensi dilaksanakan dengan lebih tepat,” katanya.

Abd Halim berkata bentuk rasuah dan salah guna kuasa sentiasa berubah seiring dengan perkembangan persekitaran, teknologi dan kaedah baharu, justeru pendekatan SPRM juga perlu sentiasa dinamik dan responsif terhadap perubahan tersebut.

Pada masa sama, beliau menegaskan keupayaan warga SPRM perlu terus diperkukuh melalui peningkatan kemahiran, keupayaan analitikal, pemahaman terhadap peruntukan undang-undang serta penghayatan nilai integriti dan profesionalisme.

Beliau turut menggalakkan warga SPRM supaya berani menyuarakan pandangan, melaporkan kelemahan serta memaklumkan risiko yang dikenal pasti bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil dengan segera.

“Organisasi yang kukuh ialah organisasi yang berani mengenal pasti dan menyelesaikan masalah secara terbuka, profesional dan bertanggungjawab,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Junipah Wandi; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Azmi Kamaruzaman; Pengarah-Pengarah Kanan, Pengarah-Pengarah Bahagian dan SPRM Negeri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top