nurul_husna@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Situasi jerebu di negara ini masih membimbangkan apabila 34 daripada 36 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 150, iaitu pada tahap Tidak Sihat, setakat jam 10 malam ini.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Seremban di Negeri Sembilan dan Segamat di Johor mencatatkan bacaan IPU tertinggi dengan bacaan 188.
Ia diikuti Nilai, Negeri Sembilan (184); Bukit Rambai, Melaka (178); Kluang, Johor (178); Bandaraya Melaka (177); Tangkak, Johor (177), serta Johan Setia, Selangor (177).
Kawasan Lembah Klang turut terjejas dengan Putrajaya merekodkan bacaan IPU 174, Batu Muda di Kuala Lumpur (173), Shah Alam (172), Banting (171), Cheras (170), dan Petaling Jaya (168).
Bagi kawasan pantai timur dan utara, beberapa lokasi seperti Rompin, Pahang (174), Bandar Indera Mahkota Kuantan (166), Pegoh Ipoh, Perak (160), Tanjung Malim, Perak (160), Kemaman, Terengganu (156), serta Seberang Perai, Pulau Pinang (128) turut mencatatkan bacaan tidak sihat.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menerusi hantaran di Facebook (FB) memaklumkan fenomena jerebu diramal berterusan di beberapa kawasan utama dalam negara.
Bagi wilayah Lembah Klang dan sekitarnya termasuk Kuala Lumpur, Petaling, dan Sepang termasuk Putrajaya, cuaca diramal mengalami jerebu pada sebelah pagi dan malam, manakala ribut petir di beberapa tempat dijangka berlaku pada sebelah petang.
Di Johor pula, daerah seperti Segamat, Kota Tinggi, dan Muar, cuaca diramalkan berjerebu berlanjutan sepanjang hari iaitu pada sebelah pagi, petang, dan malam tanpa sebarang hujan.
Ramalan ketiadaan hujan dijangka menyukarkan proses pemulihan kualiti udara dalam tempoh terdekat.
“Sehubungan itu, orang ramai di kawasan yang terjejas dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah, memakai pelitup muka yang sesuai sekiranya perlu keluar, serta meminum air yang secukupnya bagi mengelakkan masalah kesihatan berkaitan dengan penurunan kualiti udara ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




