am@hmetro.com.my
Kuala Nerang: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta pihak tertentu tidak mengaitkan dirinya atau kerajaan negeri dengan isu pecah amanah RM40 juta membabitkan projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani.
Beliau berkata, isu berkenaan membabitkan urusan antara dua syarikat dan beliau tidak mengetahui pihak ditahan atau individu yang didakwa berkaitan kehilangan wang berkenaan.
“Syarikat dengan syarikat, dia punya hal, mereka selesai dengan pihak berkuasa, saya pun tak tahu. Saya nak jawab (bagi) pihak orang tak boleh.
“Orang itu pun saya tak kenal, siapa yang kena tangkap ? Saya tak tahu siapa yang hilang duit. Jadi macam mana mereka tuduh Sanusi pula.
“Tak akan kerajaan salah, contohnya kerajaan ada tanah, kita nak buat rumah, kita tawarkan kepada mana-mana syarikat yang ada kemampuan kewangan datang buat rumah.
“Bila dia (syarikat) nak buat, dia tak ada duit, dia cari kawan-kawan atau rakan kongsi untuk melabur. Dia urus dengan rakan kongsi dia, takkan kita salah?” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Hakmilik dan Kunci Rumah Desa Sejahtera Perik, Mukim Kurong Hitam di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, sebelum ini kerajaan negeri sudah menjelaskan bahawa projek berkenaan menerima peruntukan RM30 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dengan RM10 juta digunakan untuk urusan tanah, manakala baki RM20 juta adalah untuk projek.
Katanya, cadangan asal projek itu bagaimanapun dibangunkan pada skala besar dengan kos keseluruhan kira-kira RM73 juta dan pihak terbabit kemudian memohon tambahan RM40 juta.
“Dia dah dapat RM30 juta, pakai RM10 juta dan dengan RM20 juta dia minta lagi RM40 juta. Dia hantar kebenaran merancang untuk projek RM73 juta.
“Bila kita datang, kita kaji balik. Walaupun nak diteruskan, kita balik kepada asal, buat skala kecil yang patut dan padan,” katanya.
Beliau berkata, perubahan skala projek menyebabkan urusan kebenaran merancang serta tanah perlu diselesaikan semula selain memastikan wang kerajaan tidak dibelanjakan ke atas tanah milik syarikat.
Katanya, kerajaan negeri masih meneliti kedudukan projek itu dan kemungkinan untuk meneruskannya sama ada sebagai projek swasta atau kerajaan bergantung kepada kos serta kemampuan kewangan.
“Kalau besar sangat dan di luar kemampuan kerajaan, swasta yang jalankan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan supaya pihak tertentu tidak membuat tuduhan tanpa mengetahui keseluruhan perkara kerana ia boleh membawa kepada fitnah.
Kelmarin, media melaporkan seorang pengarah syarikat wanita berusia 30-an ditahan selepas disyaki melakukan pecah amanah RM40 juta berkaitan projek litar lumba antarabangsa di Sungai Petani yang terbengkalai.
Suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman selepas seorang pemegang saham utama syarikat membuat laporan polis berhubung urusan pembelian saham syarikat sekitar April hingga Jun 2024.
Difahamkan, pembayaran RM40 juta itu dibuat bagi tujuan pembelian saham dan mendapatkan tanah di Kedah yang dikatakan akan dibangunkan sebagai litar perlumbaan.
Bagaimanapun wang berkenaan didakwa digunakan untuk tujuan lain sehingga hak milik tanah tidak dapat dipindahkan seperti dipersetujui.
© New Straits Times Press (M) Bhd




