Jerebu: Sekolah di empat negeri, KL, Putrajaya dan daerah Rompin ditutup esok – Fadhlina

Jerebu: Sekolah di empat negeri, KL, Putrajaya dan daerah Rompin ditutup esok – Fadhlina

nurul_husna@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Semua sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta daerah Rompin di Pahang diarah tutup esok, susulan situasi jerebu yang melanda negara.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, langkah penutupan berkenaan membabitkan seluruh sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Sementara itu, di Pahang hanya sekolah di daerah Rompin sahaja yang akan ditutup.

“Bagaimanapun, sekolah lain di Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Labuan beroperasi seperti biasa,” katanya dalam hantaran di Facebook (FB) malam ini.

Fadhlina berkata, beliau sudah meminta semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk terus memantau keadaan jerebu dan mengambil tindakan segera sekiranya keadaan memerlukan.

“Saya juga memahami sebarang keputusan penutupan sekolah memberi kesan kepada urusan harian ibu bapa.

“Masa yang akan datang, kita akan memastikan sebarang keputusan penutupan sekolah dimaklumkan lebih awal supaya ibu bapa mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa diminta terus mengikuti makluman rasmi daripada pihak sekolah, PPD dan JPN masing-masing.

Katanya, keselamatan dan kesihatan anak-anak serta warga sekolah sentiasa menjadi keutamaan kementerian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top