am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 19 kes membabitkan 12 ahli politik diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah seluruh negara, antara 2010 hingga Julai lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata jumlah itu berdasarkan input diterima daripada Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) serta semakan terhadap rekod kes jenayah di mahkamah.
Namun, katanya, butiran atau maklumat lanjut berhubung kes tertentu boleh dirujuk secara terus kepada Jabatan Peguam Negara selaku pihak mempunyai rekod dan maklumat berkaitan pendakwaan kes berkenaan.
“Bagi penjelasan, DNAA tidak terjumlah kepada suatu pembebasan daripada pertuduhan.
“Mengambil kira konteks kes jenayah tidak tertakluk kepada tempoh had masa seperti kes sivil,
individu diberikan DNAA masih boleh didakwa semula atas pertuduhan sama.
“Prosedur berkenaan akan dilaksanakan jika pihak pendakwaan memutuskan untuk berbuat demikian berdasarkan fakta, keterangan dan perkembangan kes,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai jumlah kes pertuduhan jenayah membabitkan ahli politik dan pemimpin berprofil tinggi yang diberikan DNAA.
© New Straits Times Press (M) Bhd




