PLKN 3.0 di Sarawak dijangka bermula 2028

PLKN 3.0 di Sarawak dijangka bermula 2028

yusri.muzamir@bh.com

Kuala Lumpur: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Sarawak dijangka bermula dalam siri 3/2028, dijadualkan berlangsung dari Julai hingga Ogos 2028.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, latihan akan diadakan di Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) 511, Rejimen 511 Askar Wataniah, Kem Semantan, Sarawak, dengan kapasiti maksimum seramai 300 pelatih.

Katanya, daripada jumlah itu, 60 peratus kuota diperuntukkan kepada peserta dari Sarawak, diikuti Sabah (30 peratus) dan Kuala Lumpur (10 peratus) bagi meningkatkan penyertaan Malaysia Timur serta memperkukuh perpaduan nasional.

Beliau berkata, pengambilan pelatih pula dibuat melalui dua kaedah, iaitu undian secara rawak dan permohonan secara sukarela, bertujuan memastikan penyertaan pelatih secara seimbang melalui pemilihan bersyarat serta kesediaan menyertai program secara sukarela.

“Kriteria pemilihan ditetapkan ialah berusia antara 18 hingga 25 tahun mengikut tahun kelahiran, warga Malaysia, sihat tubuh badan dan tidak pernah menyertai mana-mana siri PLKN terdahulu.

“Bagaimanapun, mekanisme pengambilan secara rawak dan sukarela semata-mata tidak dapat menjamin keterangkuman golongan belia dari luar bandar dan pedalaman.

“Justeru, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), melalui Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) memutuskan wakil MLKN dari Sarawak turut mengenal pasti dan mencadangkan nama calon dari kawasan luar bandar dan pedalaman untuk dipertimbangkan dalam pengambilan pelatih.

“Pendekatan ini akan dilaksanakan selepas wakil MLKN dari Sarawak dilantik,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Jonie Zawawi (GPS-Igan) mengenai status pelaksanaan PLKN 3.0 di Sarawak serta tarikh pelaksanaan, kriteria pemilihan, jumlah dan kuota peserta, terutama bagi memastikan belia luar bandar serta pedalaman tidak tercicir.

Mohamed Khaled berkata, persiapan bagi pelaksanaan PLKN 3.0 di Srawak juga giat dilaksanakan, termasuk dalam mendapatkan kelulusan penggunaan tanah.

“Walaupun siri PLKN 3.0 di Sarawak dijadualkan bermula pada 2028, namun penyertaan belia dari Sarawak sudah bermula sejak Siri 1/2025.

“Seramai 94 pelatih dari Sarawak menyertai PLKN 3.0, merentasi tujuh siri pelaksanaan, iaitu tiga siri pada 2025 dan empat siri, tahun berikutnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top