Soalan
Jika saya tidak sempat untuk solatkan jenazah saudara-mara kerana jarak perjalanan yang jauh, bolehkah saya solat jenazah di kuburnya beberapa hari kemudian?
Jawapan
Dibolehkan untuk solat jenazah di kuburnya walaupun telah sempurna pengebumian beberapa hari kemudiannya.
Cara solat jenazah tersebut sama sahaja dengan solat jenazah yang biasa dilakukan iaitu empat takbir dan menghadap kiblat.
Ia berdasarkan sepotong hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA, katanya: “Sesungguhnya seorang lelaki atau wanita berkulit hitam yang biasa membersihkan masjid telah meninggal dunia. Maka Nabi SAW bertanya tentangnya, lalu sahabatnya menjawab dia telah meninggal dunia. Nabi SAW berkata: “Mengapa kamu tidak memberitahuku tentangnya? Bawalah aku ke kuburnya.” Nabi SAW lalu datang ke kuburnya dan solat ke atasnya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Adapun berkaitan dengan jarak masa yang dibenarkan solat jenazah di kubur, ulama berselisih pendapat mengenainya.
Ada ulama yang menyatakan tempohnya selama sebulan sahaja selepas hari dia dikebumikan, ada yang menjelaskan hingga jenazah tersebut reput dan ada juga yang menyebut bahawa harus untuk solat jenazah di kubur ini tanpa batasan tempoh tertentu seperti dinyatakan dalam kitab Subulas salam.
Kesimpulannya, harus untuk solat jenazah di kubur bagi sesiapa yang tidak sempat untuk solat jenazah sebelum ia dikebumikan.



