hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perbezaan peraturan waktu keluar masuk kampus dan kolej kediaman, kod pemakaian serta penampilan diri mahasiswa antara contoh ketidakseragaman peraturan antara universiti awam.
Jurucakap Kolektif Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) (KMUiTM), Muhammad Luqman Hakim Mohd Kamal berkata, perbezaan itu menyebabkan perkara yang dibenarkan di sesebuah universiti atau kampus tidak semestinya dibenarkan di institusi lain.
Dia yang juga Exco Kebajikan dan Kemanusiaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Kedah berkata, antara contoh paling jelas ialah peraturan ‘curfew’ atau had waktu keluar masuk di kolej kediaman atau kampus selain aspek pendekatan tatatertib terhadap kebebasan bersuara, kenyataan awam, perhimpunan dan aktivisme mahasiswa.
“Contohnya, UiTM mempunyai kampus menetapkan curfew sekitar 11 malam, manakala ada universiti awam lain menetapkan waktu sehingga tengah malam atau tidak mengenakan curfew seperti Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Selain itu, perbezaan juga boleh dilihat daripada segi pendekatan tatatertib terhadap kebebasan bersuara, kenyataan awam, perhimpunan dan aktivisme mahasiswa.
“Ada universiti yang lebih terbuka terhadap perkara tertentu, manakala di tempat lain mahasiswa masih berdepan tafsiran atau sekatan tatatertib berbeza,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, kod pemakaian dan penampilan diri penuntut juga boleh dikatakan berbeza antara universiti seperti ada universiti yang menetapkan lelaki perlu berambut pendek.
“Ada juga yang menetapkan pakaian tertentu untuk kuliah atau urusan rasmi seperti kemeja dan tali leher, manakala perincian larangan seperti jeans, selipar, T-shirt, pakaian tertentu dan sebagainya juga berbeza mengikut universiti,” katanya.
Muhammad Luqman Hakim berkata, isu berkenaan bukan sekadar soal satu-satu peraturan, sebaliknya ia juga membabitkan hak mahasiswa yang sepatutnya mempunyai standard minimum yang sama di semua Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).
“Perkara ini kami sudah masukkan dalam memorandum mengenai pemansuhan AUKU sebelum ini. Kami mencadangkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengeluarkan satu garis panduan sementara yang seragam sementara proses reformasi undang-undang pendidikan tinggi berjalan, supaya tidak berlaku keadaan ‘sini boleh buat, sana tidak boleh buat.’
“Bagi kami, penyelarasan itu perlu menetapkan standard minimum hak mahasiswa, bukan menyeragamkan semua perkara secara membuta tuli. Universiti masih boleh mempunyai peraturan khusus berdasarkan konteks kampus, tetapi ia tidak sepatutnya digunakan untuk mengehadkan hak asas mahasiswa secara tidak konsisten.
“Kami juga alu-alukan kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi bahawa KPT memang melihat isu percanggahan peraturan ini dan mahu menyelaraskannya. Cuma kami berharap proses itu benar-benar membabitkan mahasiswa dan menghasilkan perlindungan yang jelas, bukan sekadar penyelarasan pentadbiran,” katanya.
Sementara itu, bekas penuntut dan juga bekas MPP Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Ahmad Luthfi Mohammad Noor berkata, hak kebebasan bersuara, berpersatuan dan berhimpun secara aman antara satu kampus dengan kampus lain penting dalam membina lembaran baru dalam IPTA.
Katanya, perbezaan waktu curfew antara universiti antara perkara ketara apabila ada institusi menetapkan had waktu keluar dan masuk ke kolej kediaman, manakala universiti lain tiada peraturan sama.
“Keadaan itu boleh menimbulkan persoalan mengenai kebebasan mahasiswa menjalankan aktiviti atau belajar di luar kampus apabila ada penuntut dikenakan saman kerana pulang lewat, sedangkan peraturan berbeza di universiti lain.
“Penguatkuasaan kod pemakaian mahasiswa juga berbeza antara universiti contohnya di IIUM penuntut bukan Islam juga perlu menutup aurat ke kuliah.
“Walaupun garis panduan sudah ditetapkan, ia boleh menimbulkan perbezaan persepsi dalam kalangan penuntut mengenai batas kebebasan berpakaian yang dibenarkan di kampus,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




