news@nst.com.my
Kuala Lumpur : Sebaik selesai pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, seorang Ahli Parlimen mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang akan melangsungkan pernikahan esok.
Kenyataan spontan itu kedengaran selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, menangguhkan persidangan susulan pembentangan belanjawan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tahniah atas perkahwinan anda, Muar,” kata Ahli Parlimen berkenaan secara berseloroh.
Kenyataan itu mengundang reaksi Ahli Parlimen lain yang berada dalam Dewan Rakyat.
Syed Saddiq sebelum itu dilihat bergegas meninggalkan Dewan Rakyat sebaik sahaja pembentangan belanjawan selesai.
Difahamkan, majlis berinai membabitkan bekas menteri kabinet itu bersama tunangnya yang juga penyanyi dan pelakon Bella Astillah, dijadualkan berlangsung malam ini.
Sementara itu, Syed Saddiq turut berkongsi hantaran di platform Threads menjelang hari pernikahannya.
“Hari ini untuk rakyat, esok untuk isteri saya. Kedua-duanya komitmen yang wajib dihadiri,” tulisnya.
Syed Saddiq dan Bella dijadualkan melangsungkan pernikahan esok di Aras 118, Menara Merdeka Maybank, di sini, dengan tema serba putih yang menggabungkan unsur Arab dan Islam.
Pasangan itu juga dijangka mengadakan dua majlis resepsi bertemakan Kenduri Rakyat di kampung halaman masing-masing.
Majlis resepsi pertama dijadualkan berlangsung pada 25 Oktober di Muar, Johor, diikuti satu lagi majlis di Kota Kinabalu, Sabah, pada 31 Oktober.
Syed Saddiq dan Bella, yang mempunyai dua anak, dilaporkan mula berkenalan dan semakin rapat pada 2025 sebelum mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




