hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penamatan sistem doktor kontrak perlu disusuli pelaksanaan, ketelusan, garis masa jelas dan kriteria kelayakan adil serta pengiktirafan sewajarnya terhadap doktor yang berkhidmat selama bertahun-tahun di bawah sistem itu supaya tiada tercicir.
Hartal Doktor Kontrak dalam kenyataan berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2027 menandakan titik perubahan penting bagi tenaga kerja perubatan negara.
Bagaimanapun katanya, seperti ditekankan oleh Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (Schomos) Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), sesuatu pengumuman hanya permulaan. “Ukuran sebenar komitmen ini terletak pada pelaksanaan, ketelusan dan kesan nyata dihasilkan. Garis masa jelas, kriteria kelayakan yang adil serta pengiktirafan sewajarnya terhadap doktor yang berkhidmat selama bertahun-tahun di bawah sistem kontrak adalah penting bagi memastikan tiada sesiapa yang tercicir.
“Penamatan sistem doktor kontrak juga perlu menjadi sebahagian daripada usaha yang lebih menyeluruh untuk menambah baik keadaan kerja, memperkukuh kemajuan kerjaya dan mengekalkan doktor berpengalaman dalam sistem penjagaan kesihatan awam kita,” katanya.
Kenyataan itu berkata, pendirian mereka berteras penghargaan, optimisme yang berhati-hati dan akauntabiliti berterusan dan turut menyambut baik komitmen itu.
“Selepas 10 tahun, doktor kita sudah terlalu lama menunggu. Mereka berhak mendapat lebih daripada sekadar janji, mereka berhak mendapat sistem yang menjamin keadilan, keselamatan dan maruah.
“Pengumuman ini memberikan kami harapan. Kini, biarlah pelaksanaan memberikan makna kepada harapan itu,” katanya.
Pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI atas iltizam untuk menangani isu yang sekian lama membebani profesion mereka.
Hari ini media melaporkan, kemelut pegawai perubatan kontrak yang berlarutan sejak sekian lama akhirnya menemui titik noktah apabila kerajaan mengumumkan pelantikan tetap bagi semua doktor yang menamatkan latihan siswazah.
Perkara itu diumumkan oleh Anwar, ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) di Dewan Rakyat, di sini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




