TEHERAN: Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) berkata pada Jumaat bahawa pihaknya menyerang sebuah kapal tangki yang cuba menggunakan laluan haram untuk melalui Selat Hormuz yang cuba disekat oleh Teheran sejak tercetusnya perang di Asia Barat.
Penjejak maritim turut melaporkan pada Jumaat bahawa objek tidak dikenal pasti mencetuskan kebakaran di sebuah kapal di perairan pantai Emiriyah Arab Bersatu (UAE) tetapi menamakan kapal yang berbeza.
Dalam kenyataan yang disiarkan media rasmi, IRGC berkata, pasukan Iran telah mengambil alih pengurusan selat itu.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Ketika melaksanakan misi ini, beberapa jam lalu, sebuah kapal pengangkut gas petroleum cecair (LPG) gergasi bernama NV Sunshine, milik NatWit, yang cuba melalui laluan haram di selatan Selat Hormuz, telah diserang,” menurut kenyataan itu.
Iran berusaha menguatkuasakan kawalannya ke atas Selat Hormuz sepanjang perang berlangsung, dengan menegaskan bahawa kapal perlu mendapatkan kebenarannya untuk melalui laluan pilihan yang ditetapkan.
Bagaimanapun, semakin banyak kapal sanggup mengambil risiko menggunakan laluan alternatif yang menyusuri pantai selatan selat itu.
Agensi maritim UKMTO Britain berkata pada Jumaat bahawa sebuah kapal yang berada kira-kira 24 kilometer) dari Al Jazeera Al Hamra, UAE, di barat daya selat itu, terkena objek yang mencetuskan kebakaran di atas kapal.
“Keadaan anak kapal, penilaian kerosakan dan kesan terhadap alam sekitar masih belum diketahui ketika ini. Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan,” menurut UKMTO dalam satu kenyataan.
Syarikat keselamatan Britain, Vanguard, turut melaporkan kejadian itu dan mengenal pasti kapal berkenaan sebagai kapal tangki minyak mentah GEM NO.2 yang berdaftar di bawah bendera Panama.
Kejadian itu berlaku beberapa hari selepas sebuah kapal tangki diserang di perairan Qatar, kira-kira 500 kilometer di barat Selat Hormuz yang penting itu.
Kapal-kapal di Teluk dan yang cuba melalui selat berkenaan, satu-satunya laluan maritim keluar masuk rantau yang kaya dengan minyak itu berulang kali menjadi sasaran serangan sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel mencetuskan perang di Asia Barat pada akhir Februari.
Iran menyekat Selat Hormuz sejak itu, walaupun beberapa kapal masih berjaya melaluinya. Media AS turut melaporkan usaha ketenteraan Amerika untuk melindungi kapal yang menggunakan laluan selatan.
AS telah melaksanakan sekatan balas terhadap pelabuhan Iran dan sesekali melepaskan tembakan ke arah kapal yang mempunyai kaitan dengan Teheran.
Selat Hormuz amat penting kepada ekonomi dunia, dengan kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia melalui selat itu sebelum perang tercetus. – AFP




