ONEcharity kutip lebih RM500,000 bantu lima sekolah di Kuantan

ONEcharity kutip lebih RM500,000 bantu lima sekolah di Kuantan

KUANTAN – Majlis Makan Malam ONEcharity berjaya mengumpul lebih RM500,000 bagi membantu lima sekolah aliran Cina di Kuantan, sekali gus melepasi sasaran kutipan yang ditetapkan.

Inisiatif yang disokong syarikat telekomunikasi, redONE Mobile itu menghimpunkan 108 meja tetamu pada majlis yang berlangsung di sebuah restoran di Kuantan, baru-baru ini.

Pengasas ONEcharity merangkap Ketua Pegawai Jualan Kumpulan redONE Mobile, Ben Teh berkata, dana terkumpul akan disalurkan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Semambu, Chung Ching, Kong Min, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tanah Putih dan Chong Hwa Kuantan.

Menurutnya, majlis itu dianjurkan dengan kerjasama East Pahang Chinese Primary Schools Development Committee menerusi jualan barangan eksklusif redONE Mobile, tiket cabutan bertuah serta seruan sumbangan secara dalam talian.

“ONEcharity sedang meneroka pembangunan platform kutipan dana mudah alih bagi menjadikan sumbangan untuk pendidikan Cina pada masa hadapan lebih mudah, praktikal dan boleh diakses.

“Platform ini juga berpotensi menjadi penghubung antara masyarakat Cina Malaysia, komuniti perniagaan dan sekolah, sekali gus membantu membina sokongan yang lebih mampan untuk pendidikan Cina,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan redONE Mobile merangkap Presiden Kehormat Tetap Huazong (Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia), Tan Sri Goh Tian Chuan menegaskan, pihaknya kekal menyokong pendidikan Cina dan memastikan dana yang dikumpulkan melalui ONEcharity disalurkan sepenuhnya kepada sekolah terlibat.

Beliau memaklumkan, redONE Mobile menanggung kos utama penganjuran majlis makan malam kutipan dana berkenaan, termasuk jamuan dan hiasan, berlandaskan prinsip tiada potongan daripada dana yang dikumpulkan.

Justeru, sekolah terlibat menerima hasil penuh jualan meja, manakala kutipan tambahan pada majlis berkenaan diagihkan sama rata kepada semua sekolah terbabit.

Sejak ditubuhkan pada 2015, inisiatif ONEcharity telah mengumpul lebih RM5 juta bagi menyokong 108 sekolah Cina di 11 negeri.

Dana berkenaan digunakan untuk menaik taraf kemudahan, kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan serta menyokong aktiviti pendidikan yang dapat meningkatkan persekitaran pembelajaran murid.

Scroll to Top