Penangguhan bayaran PTPTN beri ruang graduan kukuhkan ekonomi awal – Adam Adli

Penangguhan bayaran PTPTN beri ruang graduan kukuhkan ekonomi awal – Adam Adli

Penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada peminjam berpendapatan bawah RM2,500 sebulan menerusi Belanjawan 2027 dapat menstabilkan kedudukan kewangan graduan pada peringkat awal kerjaya.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata skema bayaran berasaskan pendapatan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kemampuan kewangan golongan muda yang baharu bekerja.

“Langkah ini melunaskan apa yang kita cuba bawakan selama ini, iaitu penangguhan semula bayaran melihat kepada kadar kemampuan dan pendapatan graduan. Ini akan membantu memastikan kita boleh memperkukuhkan ekonomi awal bagi setiap graduan,” katanya.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu bercakap kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Anwar turut mengumumkan peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan hanya dikenakan bayaran balik minimum RM50 manakala majikan yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN bagi pekerja diberikan potongan cukai, meliputi bayaran yang dibuat dari 1 Jan 2027 hingga 31 Dis 2028.

Selain penyesuaian skema bayaran mengikut gaji, Adam Adli berkata pemberian diskaun 10 peratus bagi peminjam yang membuat pembayaran secara teratur dan berjadual adalah insentif terbaharu dan berbeza berbanding kaedah sebelum ini yang umumnya memerlukan pembayaran baki secara sekali gus.

Mengenai peruntukan sektor pendidikan tinggi di bawah Belanjawan 2027, beliau berkata terdapat peningkatan peruntukan daripada RM18 bilion kepada lebih RM19 bilion yang merangkumi perbelanjaan pengurusan dan pembangunan seperti projek penaiktarafan kolej kediaman di universiti awam.

“Fokus ini penting untuk memastikan kita dapat meningkatkan kapasiti kemasukan pelajar ke universiti serta memastikan mereka dapat meneruskan pengajian dengan selesa,” ujarnya.

Sumber: Bernama

Scroll to Top