Kerajaan digesa beri kepastian status pegawai farmasi kontrak – MPS

Kerajaan digesa beri kepastian status pegawai farmasi kontrak – MPS

asyikin.mat@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) menggesa kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) memberikan penjelasan khusus mengenai status pegawai farmasi kontrak susulan Belanjawan 2027, selain menyediakan laluan yang jelas bagi mereka yang masih menunggu pelantikan tetap.

Presiden MPS Prof Amrahi Buang berkata, persatuan itu mengakui bahawa keperluan tenaga kerja dan mekanisme pelantikan mungkin berbeza mengikut profesion kesihatan.

Menurutnya, perbezaan itu tidak seharusnya menyebabkan pegawai farmasi kontrak terus dibiarkan tanpa kepastian mengenai masa depan mereka untuk tempoh yang tidak ditentukan.

“Oleh itu, kami meminta kerajaan memberikan pengesahan yang jelas mengenai perancangannya terhadap pegawai farmasi kontrak.

“Ini termasuk pegawai farmasi kontrak yang sedang berkhidmat, berada dalam senarai menunggu untuk pelantikan dan menamatkan tempoh perkhidmatan kontrak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amrahi berkata, satu garis masa dan mekanisme telus perlu diwujudkan bagi proses pengambilan serta pelantikan tetap pegawai farmasi yang layak.

“Gesaan seterusnya ialah penglibatan bermakna golongan profesional farmasi dalam menentukan keperluan tenaga kerja farmasi jangka panjang KKM.

“MPS menyokong usaha kerajaan untuk memperkukuh dan menstabilkan tenaga kerja penjagaan kesihatan di Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, penyelesaian terhadap isu tenaga kerja kesihatan kontrak tidak boleh dianggap lengkap sekiranya pegawai farmasi yang berdepan ketidaktentuan pekerjaan sama terus dibiarkan tanpa laluan jelas untuk masa depan mereka.

“Ini bukan tuntutan untuk diberikan layanan istimewa, sebaliknya tuntutan supaya keadilan, ketelusan dan pengiktirafan sewajarnya diberikan kepada setiap profesion kesihatan yang menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan awam.

“MPS bersedia untuk mengadakan perbincangan secara konstruktif dengan kerajaan dan KKM bagi mencapai penyelesaian yang mampan.

“Pegawai farmasi kontrak berkhidmat untuk negara, justeru masa depan mereka juga wajar diberikan kepastian,” katanya.

Amrahi menegaskan ketidaktentuan pekerjaan yang sudah lama dihadapi oleh pegawai farmasi kontrak juga perlu ditangani.

Beliau berkata, pegawai farmasi kontrak berkhidmat bersama-sama profesional kesihatan lain di seluruh hospital awam, klinik kesihatan dan fasiliti KKM.

“Mereka memikul tanggungjawab penting dalam pengurusan ubat-ubatan, perkhidmatan farmasi klinikal, keselamatan penggunaan ubat-ubatan, pengawasan antimikrob dan memastikan penggunaan ubat-ubatan yang selamat serta berkesan.

“Namun, ramai antara mereka masih berdepan ketidakpastian berhubung pelantikan tetap, perkembangan kerjaya dan masa depan jangka panjang dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan awam,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan lebih 350 calon simpanan pegawai farmasi kontrak untuk diserap ke perjawatan tetap kini masih menunggu kepastian berkenaan status mereka.

Amrahi sebelum ini dilaporkan berkata, isu berkenaan dalam perhatian pihaknya dan menegaskan pegawai farmasi juga perlu dilayan sama seperti warga perubatan dalam menyelesaikan perkara itu.

Isu berkenaan membabitkan ratusan pegawai farmasi kontrak mengikut kohort.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top