PRINSIPAL dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-AMG Petronas, Toto Wolff yakin Kimi Antonelli memiliki kemampuan untuk muncul juara dunia Formula Satu (F1), meskipun pelumba muda itu masih perlu melalui pelbagai cabaran dalam proses perkembangannya.
Keyakinan itu hadir selepas Antonelli, 20, memenangi lapan daripada 16 perlumbaan musim ini sekali gus melebarkan jurang kepada 84 mata mengatasi rakan sepasukan, George Russell menjelang Grand Prix (GP) Singapura hujung minggu ini.
Wolff berkata, Mercedes sudah menjangkakan pelumba Itali itu akan melalui fasa prestasi cemerlang dan detik sukar, justeru pasukan berkenaan kekal komited untuk membimbingnya bagi jangka panjang.
Menurutnya, Mercedes mula mengenal pasti potensi Antonelli ketika pelumba itu berusia 11 tahun dan terus menyokong perkembangannya, bukan sahaja dari segi kemampuan di litar, malah pembentukan peribadinya.
“Kami membantu perkembangannya sebagai pelumba, selain membentuk keperibadiannya dan menjadikannya seperti yang kita lihat hari ini. Namun, perjalanan itu bukanlah tanpa cabaran.
“Tahun lepas, dia melalui sembilan perlumbaan berturut-turut tanpa meraih sebarang mata. Jika pasukan lain, keadaan sedemikian mungkin menyebabkan dia terpaksa meninggalkan pasukan.
“Namun, kami tahu perkara itu akan berlaku. Memang sudah dijangka, ada masanya kita meraikan kegembiraan dan ada masa sebaliknya kerana kegagalan adalah sebahagian daripada kehidupan dan ia sesuatu yang perlu,” katanya.
Wolff berkata, pembangunan bakat muda memerlukan organisasi memberikan kepercayaan dan peluang kepada mereka, selain mengekalkan individu berpengalaman untuk membimbing generasi seterusnya.
Beliau turut berkongsi pengalaman ketika berusia 22 tahun apabila dinafikan peluang memikul tanggungjawab lebih besar di sebuah syarikat keluli perindustrian, meskipun menjadi satu-satunya jurujual yang masih kekal di bahagian yang pada asalnya mempunyai kira-kira 30 pekerja.
Katanya, ketiadaan peluang dan kepercayaan ketika itu amat mengecewakan sehingga mendorongnya meninggalkan syarikat berkenaan.
“Saya sememangnya menyokong kemunculan bakat-bakat muda. Kimi merupakan contoh yang baik. Begitu juga George,” katanya.
Mengulas cara Mercedes mengekalkan motivasi Antonelli selepas meraih kejayaan musim ini, Wolff berkata, pelumba itu masih bersemangat memburu kejuaraan dunia, pencapaian paling berprestij dalam sukan berkenaan.
Menurutnya, meskipun Antonelli sudah memenangi beberapa perlumbaan GP, kejayaan itu tidak mengurangkan keinginannya untuk mencapai sasaran lebih besar.
“Memang bagus apabila anda memenangi beberapa GP dan pencapaian itu meletakkannya sebaris dengan ramai lagi pelumba hebat.
“Namun, memenangi kejuaraan dunia sememangnya menjadi matlamat utama seorang pelumba. Apabila anda sudah menang, sudah tentu anda mahu mengulanginya. Saya berpendapat bahawa satu perkara yang tidak kurang padanya ialah keghairahan untuk menang,” katanya. – Bernama.



