Kadar gaji minimum RM2,000 reformasi penting pasaran tenaga kerja-KWSP

Kadar gaji minimum RM2,000 reformasi penting pasaran tenaga kerja-KWSP

asmaini@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pengumuman kerajaan yang menaikkan kadar gaji minimum kepada RM2,000 adalah reformasi penting terhadap pasaran tenaga kerja.

Ia bukan sahaja dapat meningkatkan kesejahteraan, malah menyokong kecukupansimpanan persaraan yang lebih baik bagi ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata, langkah itu adalah usaha penting ke arah memastikan pekerja menerima bahagian yang lebih adil daripada hasil pertumbuhan ekonomi negara, sekali gus memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati bersama.

“KWSP turut menyokong inisiatif menaikkan kadar gaji kehidupan wajar bagi Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) kepada RM3,400 sebulan dan komited untuk melaksanakan sepenuhnya.

“Inisiatif Belanjawan 2027 jelas mengukuhkan aspirasi Ekonomi MADANI untuk membina ekonomi yang lebih makmur, inklusif dan berpaksikan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Zulqarnain, Belanjawan 2027 juga dilihat memperluas akses kepada simpanan persaraan lebih awal melalui pendaftaran warganegara secara automatik sebagai ahli KWSP apabila mencapai usia 18 tahun.

Katanya, Program i-Saraan Plus bagi pemandu e-hailing dan p-hailing turut diteruskan dalam belanjawan tahun hadapan.

“Selain itu, pemandu yang layak boleh menerima insentif padanan kerajaan sebanyak 20 peratus.

“Ia tertakluk kepada had maksimum RM600 setahun dan RM6,000 sepanjang hayat sehingga mencapai umur persaraan minimum negara,” katanya.

Sementara itu, bagi memperkukuh pendapatan persaraan dan kesejahteraan pada usia lanjut, KWSP terus menggalakkan ahli merancang penggunaan simpanan mereka selepas bersara.

Melalui i-Emas, ahli boleh memilih bayaran bulanan bagi Pengeluaran Umur 55 dan 60 tahun sebagai alternatif kepada pengeluaran secara penuh.

Manakala baki simpanan yang kekal dalam KWSP akan terus menerima dividen tahunan, sekali gus membantu simpanan bertahan lebih lama sebagai sumber pendapatan selepas persaraan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top