Gempa magnitud 7.7 landa Panama, banyak kemusnahan dilaporkan

Gempa magnitud 7.7 landa Panama, banyak kemusnahan dilaporkan

Penonomé, Panama: Gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 menggegarkan Panama pada Jumaat, menyebabkan bangunan dan jalan raya runtuh di bahagian tengah negara itu, namun tiada laporan mengenai kemalangan jiwa setakat ini.

Menurut Sistem Perlindungan Awam Kebangsaan, gegaran dirasai di seluruh negara Amerika Tengah itu yang mempunyai populasi kira-kira 4.5 juta penduduk.

Ia berlarutan selama kira-kira seminit.

Di Bandar Panama, kira-kira 200 kilometer dari pusat gempa, suasana panik tercetus apabila orang ramai bergegas keluar untuk menyelamatkan diri dari bangunan pencakar langit yang menjadi mercu tanda bandar itu.

“Saya takut kerana gegaran itu sangat kuat dan berpanjangan. Objek berat seperti almari, katil dan semua peralatan dapur turut bergegar,” kata Salomon Andion, 46, kepada AFP selepas keluar dari bangunan 15 tingkat buat kali kedua selepas gegaran susulan.

Satu video yang tular di media sosial menunjukkan air melimpah dari kolam renang di bumbung sebuah bangunan yang melebihi 20 tingkat.

Satu lagi video memaparkan sebuah jambatan merentasi Terusan Panama bergegar kuat, namun kekal teguh ketika kenderaan melaluinya.

Presiden Jose Raul Mulino berkata, negara sedang berdepan dengan bencana besar, sambil menambah beberapa jalan raya runtuh sepenuhnya.

Juruwang Juana Alveo, 38, yang bekerja di kedai di Penonome, wilayah tengah Cocle menganggap kejadian amat mengerikan

“Ia sesuatu yang tidak pernah kami alami sebelum ini. Anak perempuan saya terperangkap di sekolah,” katanya kepada AFP.

Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) menyatakan gempa itu berlaku pada jam 5.56 petang dengan pusat gempa terletak 10 kilometer dari pekan kecil Pitaloza Arriba di wilayah tengah Herrera.

USGS pada mulanya menganggarkan magnitud gempa itu pada tahap 8.0 sebelum menyemak semula kepada 7.7.

Amaran tsunami telah dikeluarkan untuk kawasan timur Pasifik namun kemudiannya ditarik balik.

Pihak Berkuasa Terusan Panama memaklumkan bahawa aktiviti perkapalan melalui terusan itu yang menghubungkan Lautan Pasifik dan Atlantik tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Fernando Boyd berkata, kawasan yang paling terjejas ialah wilayah Herrera dan Cocle serta Los Santos di bahagian tenggara.

Beliau berkata, pekan Tonosi di Los Santos terputus hubungan sepenuhnya.

“Kami sedang mencari jalan untuk sampai ke sana melalui udara, kerana perjalanan melalui darat adalah mustahil,” katanya.

Lapangan terbang antarabangsa Panama City, yang merupakan hab utama bagi rantau itu, telah ditutup buat sementara waktu.

Menurut Pihak Berkuasa Aeronautik Awam, beberapa penerbangan telah dilencongkan ke lapangan terbang lain sebagai langkah berjaga-jaga.

Pemimpin Colombia, Ecuador dan Guatemala masing-masing menyampaikan mesej solidariti serta menawarkan bantuan.

Gempa bumi jarang berlaku di Panama dan biasanya terjadi di wilayah barat Chiriqui yang bersempadan dengan Costa Rica.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top