Nor Azizah Mokhtar
am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lemak haiwan seberat 83 tan dari Mongolia bernilai RM310,000 disita Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) selepas dikesan dibawa masuk tanpa permit import di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor, semalam.
AKPS dalam kenyataan hari ini berkata, rampasan dilakukan hasil pemeriksaan pegawai penguat kuasanya di kawasan ruang pemeriksaan kontena kira-kira jam 10 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan menemukan 83,000 kilogram lemak haiwan yang tidak boleh dimakan disimpan dalam empat beg tangki fleksibel dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM310,606.
“Barangan berkenaan didapati dibawa masuk tanpa permit import mengikut peraturan undang-undang semasa.
“Semua barangan dagangan berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, jenis haiwan yang menjadi sumber lemak itu masih belum dikenal pasti berikutan ketiadaan pengesahan daripada pihak veterinar negara asal.
Katanya, perbuatan mengimport barangan tanpa dokumen sah adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan kedua atau seterusnya, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM150,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.
© New Straits Times Press (M) Bhd




