yusri.muzamir@bh.com.my
Kuala Lumpur: Sehari selepas pembentangan Belanjawan 2027, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, tampil memberikan penjelasan berhubung istilah yang jarang didengar atau digunakan ketika sesi berkenaan.
Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook turut mencuri perhatian apabila memuat naik kapsyen ‘Jom belajar dengan Guru!’ sambil menerangkan 14 leksikon atau perbendaharaan kata sesuatu bahasa.
Antara leksikon itu ialah ‘waad’ yang bermaksud janji atau ikrar, manakala ‘lighdad’ membawa pengertian untuk hari esok dan ‘seyogia’ ialah sepatutnya atau sewajarnya.
‘Citra nusa’ pula membawa maksud gambaran atau imej tanah air, manakala pengertian ‘beranotasi’ ialah disertakan catatan atau penjelasan tambahan dan ‘menata’ pula bererti menyusun atau mengatur secara terancang.
Leksikon ‘inayat’ membawa pengertian pertolongan atau kurniaan, lazimnya daripada tuhan; ‘pranata’ bermaksud sistem, peraturan atau institusi yang mengatur kehidupan masyarakat, manakala ‘filasuf’ membawa erti ahli falsafah.
‘Ithaca’ pula bermaksud kota purba di Greece, tanah air Odysseus, dalam kesusasteraan, ia digambarkan sebagai ingatan sejarah yang murni dan tulus.
Perkataan ‘dasawarsa’ membawa pengertian tempoh 10 tahun atau sedekad, manakala ‘khulasah’ bererti rumusan atau inti pati sesuatu perkara dan ‘turath’ ialah warisan keilmuan serta pemikiran tradisional, terutama dalam tradisi Islam.
Zaman mansang pula istilah pinjaman Jerman ‘zeitgeist’ yang bermaksud mendalam dan membekas mengenai semangat, tuntutan dan amanah zaman yang mesti disemangati supaya generasi hari ini, bertanggungjawab terhadap pelapis seterusnya, selain boleh disebut ‘intergenerational responsibility’ atau tanggungjawab antara generasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




