RM22 Bilion Untuk KDN, Saifuddin Garis Keutamaan Keselamatan Negara Dan Kebajikan Anggota

RM22 Bilion Untuk KDN, Saifuddin Garis Keutamaan Keselamatan Negara Dan Kebajikan Anggota

Keselamatan negara bukan sekadar soal kelengkapan canggih atau aset penguatkuasaan, tetapi turut bergantung kepada kebajikan anggota yang bertugas di barisan hadapan.

Perkara itu antara yang mendapat perhatian dalam Belanjawan 2027 apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima peruntukan RM22 bilion bagi memperkukuh keselamatan negara, meningkatkan keupayaan operasi serta menjaga kesejahteraan anggota.

Di bawah kepimpinan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, usaha memperkukuh KDN bukan hanya tertumpu kepada penambahan aset dan teknologi, malah turut melibatkan penambahbaikan perkhidmatan serta kebajikan warga kementerian.

Antara usaha terdahulu termasuk pengurangan tunggakan permohonan kewarganegaraan daripada hampir 50,000 kepada sekitar 2,000 kes dalam tempoh tiga tahun, seperti yang dinyatakan Saifuddin pada Jun lalu, selain pelancaran pelan strategik KDN bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Belanjawan 2027 pula memperuntukkan RM7.1 bilion bagi pembelian dan penyelenggaraan aset pertahanan serta keselamatan, termasuk keperluan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan beruniform lain.

Bagi memperkukuh kawalan sempadan, RM490 juta diperuntukkan kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), selain pemasangan 48 mesin pengimbas badan dan bagasi baharu di beberapa pintu masuk utama negara.

Penggunaan teknologi turut diberi perhatian apabila Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) bakal membangunkan aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu orang ramai menyemak nombor telefon, akaun bank dan pautan mencurigakan sebelum melakukan transaksi.

Namun, di sebalik peruntukan besar dan peralatan canggih, satu pengumuman yang mungkin kelihatan kecil tetapi cukup bermakna ialah kenaikan elaun anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Kadar elaun petugas RELA dinaikkan daripada RM8 kepada RM9 sejam, manakala kadar baharu bagi penyelia ditetapkan pada RM10.80 sejam, dengan peruntukan keseluruhan RM339 juta yang dijangka memanfaatkan hampir 50,000 anggota RELA serta pasukan sukarelawan lain yang terlibat.

Walaupun kenaikan RM1 sejam bagi petugas mungkin tidak kelihatan besar, ia bersamaan peningkatan 12.5 peratus daripada kadar terdahulu, selain memberi pengiktirafan kepada sumbangan mereka dalam membantu menjaga keselamatan komuniti.

Isu kenaikan elaun itu juga telah dibangkitkan Saifuddin sebelum pembentangan belanjawan apabila beliau menyifatkan kadar RM8 sejam tidak lagi munasabah dan mahu rundingan dengan Kementerian Kewangan diteruskan.

“Saya amat menghargai keprihatinan Perdana Menteri terhadap kebajikan anggota RELA yang selama ini turut memainkan peranan penting membantu menjaga keselamatan dan kesejahteraan komuniti,” katanya menerusi kenyataan sempena Belanjawan 2027.

Perhatian terhadap kebajikan anggota tidak terhenti di situ apabila lebih RM500 juta turut diperuntukkan bagi pembinaan kuarters baharu di Depot Tahanan Imigresen Langkap, Perak dan Papar, Sabah, yang dijangka memberikan manfaat kepada hampir 900 anggota.

Bagi KDN, cabaran selepas pembentangan Belanjawan 2027 adalah memastikan setiap peruntukan dan inisiatif yang diumumkan benar-benar diterjemahkan kepada peningkatan kecekapan operasi, keselamatan rakyat serta kebajikan anggota.

Akhirnya, kecanggihan teknologi serta kekuatan aset keselamatan tetap perlu bergerak seiring dengan kesejahteraan mereka yang menggalas tanggungjawab menjaga keamanan negara, dan itulah pendekatan yang kini diberi penekanan oleh Saifuddin dalam menerajui KDN.

KREDIT GAMBAR: MEDIA MULIA


Scroll to Top