mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Kita beri laluan kepada adik-adik saya, Syed Saddiq dan Bella. Selepas itu, mungkin kami pula akan melangsungkan apa yang perlu dilangsungkan, insya-Allah,” kata penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, 48.
Kenyataan ini sekali gus menafikan dakwaan bahawa beliau sudah mendirikan rumah tangga bersama usahawan, Datuk Seri Vida (DSV) atau nama sebenar Hasmiza Othman, 54.
Beliau turut menafikan sudah mengikat tali pertunangan dengan buah hatinya kerana memaklumkan masih perlu melalui beberapa proses sebelum disatukan sebagai suami isteri.
“Alhamdulillah. Saya suka bila ada kata-kata manis dan doa-doa yang positif. Setiap kata-kata itu adalah satu doa. Jadi kalau kata kami dah kahwin, jawapannya belum. Bertunang pun belum.
“Adakah kami bakal disatukan? Itu memang perjalanan dan doa kami dan harapan, insya-Allah,” katanya ketika ditemui pelancaran Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026 X Cuckootopia, di sini, baru-baru ini.
Hubungan pasangan ini mula intim selepas menjadi pengurus anak masing-masing dalam program Talk To My Manager 2 (TTMM2).
“Kalau ikutkan, dua tiga minggu sebelum ini memang nak kahwin. Hati itu memang dah sampai, tapi apabila dua keluarga bakal disatukan, kita ada proses-proses untuk menjaga hati, menyatukan keluarga, ada ‘paperwork’ yang nak kena buat.
“Sebab yang berkahwin ini bukan teruna dan dara, tetapi duda dan janda. Jadi proses itu mengambil masa sedikit dan tunggu dan doakan yang terbaik,” katanya.
Katanya, mereka juga berhasrat mengikut adat Melayu dengan melalui proses merisik, bertunang dan seterusnya bernikah sebelum mengumumkan perkara itu kepada umum.
“Sebab saya dan DSV memang menjaga adat kerana kita ada orang-orang tua dalam keluarga. Orang tua sebelah keluarga saya, orang tua sebelah keluarga DSV.
“Jadi adat itu kita akan patuhi. Bermakna kita akan melalui proses merisik, bertunang, nikah dan sebagainya dan menghebahkan pada umum. Doakan supaya apa yang kami hasratkan, dua keluarga ini dapat disatukan secara halal, insya-Allah,” katanya.
Fazley berkata, mereka juga mengambil kira pandangan keluarga serta anak-anak masing-masing sebelum membuat keputusan besar ini.
“Apabila masing-masing ada keluarga dan anak-anak, kita berbincang secara telus dan pada saya, adat Melayu itu perlu kita patuhi. Jadi tidak boleh melangkau apa-apa adat.
“Tak boleh tunang sebelum merisik, tak boleh nikah ataupun sebelum buat pengumuman dan sebagainya. Mesti ada langkah-langkah yang kita hormati,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga tidak menyembunyikan berita baik apabila bakal mengeluarkan lagu duet bersama DSV yang akan dirakamkan dengan kerjasama komposer, Ajai.
“Sebenarnya tak nak cerita lagi, tapi ada dalam proses. Sebab saya rasa ramai nampak saya pergi ke studio Ajai. Jadi akan ada buah tangan untuk peminat yang tahu bahawa saya menyanyi, DSV pun menyanyi.
“Ia sesuatu yang agak unik kerana Ajai akan menyatukan saya dan DSV yang hadir dengan genre berbeza. Nanti akan ada sesuatu yang unik daripada kami insya-Allah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




