Andalusia tawar pakej haji bermula RM49,920

Andalusia tawar pakej haji bermula RM49,920

KUALA LUMPUR – Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd menawarkan pakej haji 2027 bermula RM49,920 dengan penginapan berhampiran Masjidil Haram, kemudahan perjalanan serta bimbingan ibadah bagi memberikan keselesaan kepada jemaah sepanjang berada di Tanah Suci.

Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, lokasi penginapan menjadi antara keutamaan syarikat bagi memudahkan pergerakan jemaah untuk berulang-alik ke Masjidil Haram, khususnya ketika musim haji yang menyaksikan kehadiran jutaan umat Islam.

“Pendekatan itu juga mengambil kira keadaan musim haji yang menyaksikan jumlah jemaah sangat ramai sehingga menyukarkan pergerakan, terutama bagi mereka yang tinggal jauh dari kawasan masjid,” katanya.

Suasana di Reruai Andalusia Travel and Tours yang dipenuhi ramai pengunjung sempena KHUP-5 di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA pada Jumaat.

Suasana di Reruai Andalusia Travel and Tours yang dipenuhi ramai pengunjung sempena KHUP-5 di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Kali Ke-5 (KHUP-5) di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA pada Jumaat.

Sementara itu, Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, empat kategori pakej ditawarkan, iaitu Amjad, Elaf, Elaf Safwah dan Safwah Full.

Menurutnya, pakej berkenaan menyediakan pilihan penginapan pada jarak kira-kira 50 hingga 490 meter dari dataran Masjidil Haram, tanpa menjadikan hotel di kawasan Aziziyah atau Syisya sebagai penginapan utama di Makkah.

“Kita nak memastikan semua jemaah Andalusia akan dapat menginap di kawasan Makkah yang berdekatan dengan Masjidil Haram,” katanya.

Pengunjung melihat pakej tawaran haji yang ditawarkan oleh Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd.

Pengunjung melihat pakej tawaran haji yang ditawarkan oleh Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd.

Ida Riswana berkata, selain penginapan, pakej berkenaan turut merangkumi tiket kelas ekonomi kereta api berkelajuan tinggi Haramain bagi perjalanan sehala, sajian makanan, khidmat petugas di Tanah Suci serta pilihan Perkhidmatan Masyair Naik Taraf (PMN) bagi kategori tertentu.

Tambahnya, Andalusia turut menyediakan penginapan percuma selama tiga malam di Aziziyah ketika jemaah berada di Mina sebagai alternatif kepada khemah, khususnya bagi mereka yang mempunyai keperluan tertentu ketika waktu mabit.

Dalam pada itu, Penasihat Syariah merangkap Timbalan Ketua Operasi Haji Andalusia, Lukmanul Hakim Hanafi berkata, syarikat turut memberikan penekanan terhadap bimbingan ibadah bagi memastikan jemaah lebih bersedia menjalani setiap rukun dan wajib haji.

Menurutnya, bimbingan itu merangkumi panduan amalan di Arafah, Muzdalifah dan Mina supaya jemaah bukan sahaja memahami teori, malah mengetahui perkara yang perlu dilakukan ketika berada di lokasi berkenaan.

“Kita nak bimbing balik jemaah apabila sampai di Tanah Suci berdasarkan apa yang ditetapkan oleh Tabung Haji.

“Kita ajar satu persatu, contohnya ketika hari Arafah, apa yang patut dilakukan, bagaimana berdoa dan apa yang perlu dibuat apabila berada di Muzdalifah,” katanya.

Beliau berkata, program simulasi manasik haji turut disediakan sebelum jemaah berangkat ke Tanah Suci bagi memberikan gambaran lebih jelas mengenai perjalanan ibadah yang bakal dilalui.

Kakitangan Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd memberi penerangan kepada orang ramai mengenai pakej haji yang mereka tawarkan.

Kakitangan Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd memberi penerangan kepada orang ramai mengenai pakej haji yang mereka tawarkan.

Syarikat itu, yang mempunyai pengalaman lebih 22 tahun menguruskan jemaah haji, turut menyediakan 30 barangan keperluan haji secara percuma kepada setiap jemaah.

Bakal jemaah yang sudah menerima tawaran haji boleh mendapatkan maklumat lanjut dan membuat pendaftaran di reruai Andalusia B001 hingga B010 sepanjang KHUP-5 yang berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober ini.

Pendaftaran turut dibuka menerusi 73 cawangan Andalusia di seluruh negara atau secara dalam talian.

Scroll to Top