Inisiatif RM160 juta perlu tingkat upah pekerja gig

Inisiatif RM160 juta perlu tingkat upah pekerja gig

KUANTAN: Keberkesanan pakej bantuan RM160 juta untuk pekerja gig  dalam Belanjawan 2027 perlu dinilai berdasarkan sejauh mana inisiatif tersebut mampu meningkatkan pendapatan bersih dan mengurangkan kos operasi golongan berkenaan, bukannya sekadar diukur menerusi jumlah peruntukan.

Presiden Majlis Ekonomi Gig (MyGiG) Malaysia, Datuk Seri Shamsudin berkata, peruntukan yang dibiayai bersama oleh kerajaan dan Grab itu adalah satu usaha positif untuk membantu pemandu e-hailing serta penghantar p-hailing, namun isu kebajikan golongan tersebut perlu ditangani secara lebih menyeluruh.

Inisiatif RM160 juta perlu tingkat upah pekerja gig
MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN

 

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pekerja gig pada masa ini berdepan dengan pelbagai kos operasi yang tinggi seperti bahan api, penyelenggaraan kenderaan, tayar, alat ganti, insurans dan ansuran bulanan kenderaan yang terpaksa ditanggung sendiri.

“Insentif dan bantuan kewangan memang dialu-alukan tetapi ia tidak boleh menjadi satu-satunya mekanisme untuk melindungi kebajikan pekerja gig.

“Ukuran kejayaan sesuatu pakej bantuan tidak seharusnya terhad kepada jumlah peruntukan atau bilangan penerima semata-mata, sebaliknya perlu melihat sejauh mana pendapatan bersih pekerja dapat ditingkatkan dan beban kos pekerjaan dikurangkan,” katanya ketika dihubungi  Mingguan Malaysia semalam

Mohd. Sharkar berkata, perhatian khusus perlu diberikan kepada jurang perbezaan antara pendapatan kasar dan pendapatan bersih  kerana jumlah bayaran kasar yang diterima pekerja sering kali tidak menggambarkan keuntungan sebenar selepas ditolak pelbagai kos operasi serta potongan berkaitan.

Beliau menyarankan supaya bantuan kewangan tersebut disusuli dengan penambahbaikan struktur tambang yang munasabah, telus dan adil bagi memastikan kadar bayaran untuk setiap tugasan adalah setimpal dengan masa, jarak perjalanan dan kos yang ditanggung.

Sementara itu, beliau menganggap usaha Majlis Perundingan Gig bagi merundingkan kadar pendapatan minimum, formula pendapatan dan standard perlindungan sosial sebagai satu langkah penting ke arah menjamin kebajikan jangka panjang pekerja gig.

Ujarnya, formula pendapatan minimum yang bakal diperkenal perlu mengambil kira pelbagai faktor kritikal termasuk jarak perjalanan, masa menunggu, tempoh berada dalam talian serta kos operasi sebenar selain disokong oleh data dan rundingan seimbang antara kerajaan, wakil pekerja dan pengendali platform.

“Pekerja gig bukan sekadar memerlukan peluang untuk bekerja tetapi peluang memperoleh pendapatan bersih yang munasabah, bekerja dalam keadaan lebih terlindung dan membina kehidupan yang lebih terjamin,” katanya.

Beliau menegaskan, sebagai penyelesaian menyeluruh kepada seluruh ekosistem industri gig, Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) perlu segera ditubuhkan oleh kerajaan sebagai punca kuasa utama menyelaras kebajikan seluruh penggiat sektor tersebut.-UTUSAN

Scroll to Top