JAIS siasat individu beragama Islam lakukan ritual agama lain

JAIS siasat individu beragama Islam lakukan ritual agama lain

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang menyiasat dakwaan seorang individu beragama Islam melakukan ritual agama lain yang menyalahi hukum syarak, seperti ditularkan di media sosial.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Ini membabitkan kesalahan melakukan perbuatan yang menunjukkan pemujaan dengan apa-apa cara yang menyalahi hukum syarak dan kesalahan melakukan perbuatan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina.

“Setakat ini, pihak JAIS masih belum dapat mengesahkan perbuatan itu dilakukan oleh individu berkenaan semasa perayaan Thaipusam di Batu Caves, Selangor seperti mana yang ditularkan,” katanya dalam satu kenyataan tengah malam tadi.

Mohd Shahzihan berkata, jabatan itu juga tidak menolak kemungkinan hantaran itu membabitkan suntingan ‘superimpose’ atau kecerdasan buatan (AI).

“Justeru itu, beberapa fakta mengenai kes ini termasuk tempat berlaku kejadian akan disiasat dengan lebih teliti oleh pihak JAIS dengan kadar segera bagi mengenal pasti bidang kuasa jabatan ini untuk mengambil tindakan selanjutnya di bawah undang-undang yang berkuat kuasa.

“JAIS memandang serius perkara menyentuh persoalan akidah umat Islam di Selangor dan menegaskan setiap maklumat atau aduan akan disiasat dan diambil tindakan secara profesional, tegas, cepat, tepat dan adil,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top