Kuala Lumpur: Pembabitan anggota Muslim dalam Unit Anjing Pengesan (K9) bagi melaksanakan tugas rasmi yang mempunyai keperluan dan maslahat diiktiraf syarak adalah harus terutama dalam aspek keselamatan awam, pengesanan bahan terlarang, operasi mencari dan menyelamat serta tugas penguatkuasaan lain.
Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, Islam tidak mengharamkan seseorang Muslim daripada berurusan dengan anjing secara mutlak, malah pekerjaan yang memberikan manfaat kepada masyarakat serta memelihara keselamatan awam mempunyai nilai yang besar di sisi syarak, selagi tidak membabitkan perkara diharamkan.
Katanya, dalam konteks Unit K9, anjing pengesan memainkan peranan penting dalam pengesanan bahan terlarang, pencarian individu serta pelbagai operasi keselamatan lain yang termasuk dalam kategori maslahat yang diiktiraf syarak.
“Seorang Muslim, termasuk wanita, harus bertugas sebagai anggota Unit K9 apabila terdapat keperluan pekerjaan yang sah dan maslahat yang jelas, termasuk mengendalikan serta menyentuh anjing ketika melaksanakan tugasan rasmi.
“Justeru, pembabitan sebagai anggota Unit K9 adalah harus dan perbuatan menyentuh anjing bagi tujuan melaksanakan tugas rasmi juga tidak boleh dihukum haram secara mutlak.
“Hukumnya perlu dinilai berdasarkan keperluan tugas dan keadaan sentuhan berkenaan.
“Bagi wanita Muslim pula, faktor jantina tidak menjadikan hukum pengendalian anjing berbeza daripada lelaki dari sudut kenajisan. Bagaimanapun, sebagaimana tugasan lain, batas aurat, pergaulan dan adab yang ditetapkan syarak tetap perlu dipelihara,” katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, berdasarkan Mazhab Syafie, anjing tergolong dalam kategori najis mughallazah, oleh itu, hukum berkaitan pengendalian anjing perlu dibezakan antara keharusan melaksanakan tugas dengan hukum kenajisan yang timbul akibat sentuhan dalam keadaan tertentu.
“Perkara yang perlu diberikan perhatian ialah hukum kenajisan anjing menurut Mazhab Syafie. Apabila berlaku sentuhan yang menyebabkan perpindahan najis, khususnya melalui air liur atau kelembapan yang memungkinkan najis berpindah, individu berkenaan perlu melakukan sertu pada bahagian yang terkena najis itu.
“Sebaliknya, jika sentuhan berlaku dalam keadaan kedua-duanya kering tanpa sebarang perpindahan najis, maka sentuhan itu tidak menyebabkan berlakunya perpindahan najis secara automatik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




