syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Aedy Ashraf menafikan desas-desus yang mendakwa dirinya kini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon dan penyanyi, Azira Shafinaz.
Aedy atau nama sebenar Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 33, berkata keakraban mereka hanya atas dasar kawan rapat dan tuntutan profesionalisme sewaktu menjayakan filem lakonan bersama, Tarung: Unforgiven.
“Kami memang ‘bercinta’ tapi dalam filem Tarung sahaja. Realitinya tidak, kami hanyalah kawan baik yang sangat rapat.
“Saya rasa lakonan Azira yang sangat mantap dalam filem itu betul-betul memberikan impak kepada penonton sampai ada yang rasa kami berdua ini bercinta.
“Tambahan pula kami selalu keluar meluangkan masa bersama kawan-kawan yang lain di luar, jadi mungkin dari situ timbul salah faham,” katanya.
Aedy ketika ditemui pada sidang media Top 5 Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) di Finas, Sungai Buloh, malam tadi turut menolak dakwaan kononnya mereka terjebak dengan cinta lokasi.
“Oh tidak sama sekali. Tapi kami bekerjasama dengan cara yang sangat menyeronokkan,” katanya.
Sementara itu, Azira atau nama sebenarnya Azira Shafinaz Ramlan, 35, menyifatkan spekulasi yang timbul sebagai salah faham dalam kalangan peminat semata-mata.
“Saya rasa orang salah tafsir. Sudah tentu bila mereka menonton filem Tarung, mereka mengharapkan apa yang dilihat dalam filem itu turut berlaku dalam realiti. Tapi sebenarnya tidak, kami memang kawan baik,” katanya.
Terdahulu, keakraban pasangan pelakon ini sering meraih perhatian netizen hingga ada yang ‘merestui’ hubungan mereka selepas kelihatan kerap hadir bersama di beberapa majlis keramaian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




