JAIS siasat pemuda Islam didakwa buat ritual agama lain, langgar hukum syarak

JAIS siasat pemuda Islam didakwa buat ritual agama lain, langgar hukum syarak

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memulakan siasatan berhubung hantaran tular di media sosial yang mendakwa seorang individu beragama Islam melakukan amalan atau ritual agama bukan Islam yang dipercayai menyalahi hukum syarak.

Pemujaan bertentang dengan hukum syarak

Menurut kenyataan JAIS pada 10 Oktober 2026,  pengarahnya, Dato’ Haji Mohd Shahzihan bin Ahmad menyatakan siasatan dijalankan berdasarkan Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, masing-masing berkaitan perbuatan yang menunjukkan pemujaan bertentangan dengan hukum syarak dan perbuatan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina.

“Setakat ini, pihak JAIS masih belum dapat mengesahkan bahawa perbuatan tersebut dilakukan oleh individu berkenaan semasa perayaan Thaipusam di Batu Caves, Selangor seperti mana yang ditularkan,” ujarnya.

Tak tolak kemungkinan ada suntingan

Wala bagaimanapun, JAIS memaklumkan pihaknya masih belum dapat mengesahkan dakwaan bahawa kejadian itu berlaku ketika perayaan Thaipusam di Batu Caves, Selangor, seperti yang ditularkan.

“Pihak JAIS juga tidak menolak keberangkalian hantaran tersebut melibatkan suntingan superimpose atau kecerdasan buatan (AI),” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, JAIS akan meneliti beberapa fakta berkaitan kes berkenaan, termasuk lokasi sebenar kejadian, bagi mengenal pasti bidang kuasa untuk mengambil tindakan lanjut mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

Dalam masa sama, JAIS menegaskan pihaknya memandang serius perkara yang menyentuh persoalan akidah umat Islam di Selangor dan komited memastikan setiap aduan disiasat secara profesional, tegas, cepat, tepat dan adil.

Sumber: Facebook Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

Scroll to Top