am@hmetro.com.my
Sintok: Budaya menghormati antara satu sama lain sama ada di institusi pendidikan, keluarga dan struktur masyarakat menjadi antara faktor yang boleh mengekang kegiatan buli.
Elemen itu, yang dipandang remeh sesetengah pihak membuka ruang kepada perubahan sikap secara mendadak oleh pelajar dan ia wajar ditekankan di peringkat sekolah rendah lagi.
Ahli Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim berkata, penekanan sejak awal itu adalah perlu kerana ia membabitkan fasa permulaan kehidupan murid-murid sehinggalah dewasa.
Katanya, rasa hormat yang kemudiannya membentuk kasih sayang sesama insan itu amat penting dalam membentuk sahsiah seseorang dan ia sepatutnya dipupuk bermula dari sekolah rendah.
“Kita melihat dari generasi ke generasi bagaimana dengan rasa hormat itu menjadikan kita dikenali dengan baik.
“Sama juga dengan sekolah, bila murid-murid hormat ibu bapa, guru, imam dan pemimpin tempatan, secara automatik, kita terhindar dari melakukan kegiatan tidak baik seperti buli.
“Akan timbul perasaan kasih sayang sesama rakan sekolah dan rakan sekampung dan ia akan berterusan ke peringkat pengajian tinggi serta fasa kehidupan seterusnya,” katanya.
Terdahulu beliau menyantuni murid-murid Sekolah Kebangsaan Mahang yang menyertai Kem Pembangunan Duta Digital, di sini hari ini.
Hadir sama Dekan Hal Ehwal Pelajar UUM Dr Mazli Mutazam dan Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan, Abd Rasid Abdul Rahaman.
Muhamad Khizri berkata, murid-murid juga perlu dilatih untuk sentiasa peka dalam menerima perbezaan merangkumi rupa paras, latar belakang keluarga, bangsa, atau tahap keupayaan dan sama sekali tidak menjadikannya sebagai bahan ejekan.
“Kita perlu tahu setiap orang mempunyai ruang peribadi dan perasaan yang perlu dijaga. Jadi elakkan mengusik keterlaluan kerana ia boleh mencetuskan ketegangan.
Selain itu, jangan rahsiakan masalah di sekolah, berani berkongsi dan mengadu kepada yang sepatutnya juga boleh menjadi kaedah terbaik mengelakkan buli, ” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




