Dana sumbangan talian hayat parti politik

Dana sumbangan talian hayat parti politik

Parti-parti politik di negara ini hampir setiap masa berpolitik, sekurang-kurangnya pemimpin akan bercakap mengenai isu politik dan mengatur percaturan parti meski pun tanpa pilihan raya.
Sebab itu kebanyakan parti tempatan ini memerlukan nyawa yang datang daripada sokongan ahli dan penyokong bagi mengekalkan keberadaan dalam politik.

Satu lagi talian hayat parti politik adalah sumber kewangan bagi membolehkan bergerak, dan bersaing dalam pentas politik, tetapi tidak semua parti memperoleh dana yang besar apatah lagi jumlah keahliannya kecil.

Maka, apa akan berlaku kepada parti politik yang tidak menerima dana untuk beroperasi?

Memuatkan artikel berkaitan…

Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said baru-baru ini bahawa kerajaan mempertimbangkan cadangan melarang parti politik daripada menerima sebarang dana dari luar negara, termasuk disalurkan menerusi pihak ketiga di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Pembiayaan Politik mungkin akan memberi

kesan kepada parti politik, melainkan parti berkenaan sudah ada dana dalaman yang besar.

Kata Azalina, skop larangan tersebut merangkumi peringkat Persekutuan serta negeri dan terpakai sepanjang kitaran politik sebelum, semasa mahu pun selepas pilihan raya.
“(Ia adalah) bagi memastikan sumber dan penggunaan dana politik dapat dipantau secara berkesan, “ katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Azalina menjawab soalan Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang bertanyakan mekanisme untuk mencegah dana luar negara daripada disalurkan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pihak ketiga bagi membiayai kempen atau aktiviti politik yang memberi manfaat kepada parti atau calon tertentu, serta sama ada RUU itu akan mewajibkan pendedahan sumber dana dan perbelanjaan.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, RUU itu juga dicadangkan untuk mewajibkan dana politik diterima dan digunakan melalui saluran rasmi yang boleh direkodkan, dikesan dan diaudit.
“(Ini) termasuk pelaporan berkala, penyerahan laporan kewangan diaudit secara tahunan, serta pendedahan maklumat pembiayaan politik kepada awam, tertakluk kepada butiran dan parameter yang akan dimuktamadkan semasa proses penggubalan RUU berkenaan,” katanya.

Saya bersetuju tidak semua parti politik ini dalam keadaan yang mempunyai kewangan kukuh untuk beroperasi, apatah lagi bertanding pilihan raya, tetapi membenarkan wang disalurkan kepada parti politik tanpa kawalan mengundang pelbagai risiko termasuklah antaranya politik wang.

Mengulas isu berkenaan, penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, RUU Pendanaan

Dana sumbangan talian hayat parti politik

 

Politik masih berdepan tentangan daripada beberapa parti politik sekali gus membuktikan belum wujud konsensus dan iltizam politik (political will) menyeluruh mengenai bentuk undang-undang yang mahu diperkenalkan.

“Saya berpandangan tentangan parti politik wujud kerana menyentuh sumber kewangan dan penderma parti. Semakin ketat tahap pendedahan yang diwajibkan semakin besar kemungkinan sesetengah parti berasa ruang politik mereka akan terjejas, “ ujarnya.

Beliau mengesyaki maklumat pemberi dana tidak lagi menjadi sulit kerana pelbagai sumber dana boleh dimasukkan dalam tabung parti.
“Pendedahan ini akan membuka maklumat siapa yang menyumbang dan perbelanjaan. Cabaran paling besar adalah mencari keseimbangan antara ketelusan dan realiti pembiayaan politik,“ ujarnya.

Namun bagi Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis secara umumnya undang-undang pendanaan politik berpotensi memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan integriti demokrasi Malaysia dengan mengawal sumber, jumlah dan penggunaan dana politik.

 

 

Namun, keberkesanannya sangat bergantung kepada reka bentuk undang-undang, mekanisme pembiayaan alternatif dan kebebasan badan pengawal selia. Memang ada pro dan kontra bagi perlaksanaannya.

Beliau berpandangan undang undang berkenaan dana politik itu mampu meningkatkan ketelusan kerana parti politik perlu mengisytiharkan sumber pendapatan, sumbangan dan perbelanjaan, sekali gus mengurangkan ruang untuk political funding yang tidak diketahui umum.

Kata beliau juga, undang undang berkenaan boleh mengurangkan risiko amalan politik penaungan. Had sumbangan dan kawalan terhadap penderma tertentu boleh mengurangkan risiko wang politik dikaitkan dengan kontrak, projek, lesen atau keputusan kerajaan.

“Ia juga boleh mengawal sumber dana berisiko. Larangan atau sekatan terhadap dana asing atau penderma yang mempunyai konflik kepentingan boleh mengurangkan potensi pengaruh luar terhadap politik domestik serta mewujudkan standard yang sama iaitu semua parti, calon dan organisasi berkaitan politik boleh tertakluk kepada peraturan, audit dan keperluan pelaporan yang lebih jelas “ ujarnya.

RUU berkenaan ada pro dan kontranya kerana parti-parti politik terutama pembangkang yang mengesyaki adakah penguatkuasaannya benar-benar bebas dan konsisten.

“Jika standard berbeza dikenakan kepada parti kerajaan dan pembangkang, undang-undang boleh menimbulkan ketidakpercayaan. Isu privasi penderma. Ketelusan perlu diseimbangkan dengan hak privasi. Pendedahan nama semua penderma tanpa threshold yang sesuai boleh menyebabkan individu enggan menyumbang atau berdepan tekanan politik,” ujar Mujibu.

Seperkara lagi third-party financing masih boleh menjadi loophole iaitu jika akta hanya mengawal akaun parti, pihak ketiga seperti NGO, yayasan atau individu masih boleh membiayai aktiviti politik secara tidak langsung.

Jerman dan United Kingdom mempunyai akta yang ampuh menangani isu dana gelap serta pengaruh korporat dalam politik kerana akta yang komprehensif dan penguatkuasaan yang praktikal, telus, dan kalis manipulasi.

JIka RUU ini akhirkan akan jadi akta pendanaan parti politik. agensi mana akan mengawal selia atau menjadi badan regulator memantau sumber kewangan parti parti politik ini. Agensi berkenaan atau badan juruaudit bebas mestilah benar benar bebas dan adil , tidak memihak dan tidak ada konflik kepentingan dengan mana mana pihak khususnya parti politik.

Harapnya tidak ada banyak insiden parti politik mengutip derma semasa berceramah, membuat sumbangan dalam tin milo atau sebarang tabung yang diedar berleluasa.-UTUSAN

Scroll to Top