Sertakan bukti! Saifuddin minta fakta kukuh dakwaan Rohingya guna pasport Bangladesh

Sertakan bukti! Saifuddin minta fakta kukuh dakwaan Rohingya guna pasport Bangladesh

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta sebarang dakwaan berhubung etnik Rohingya yang didakwa memasuki Malaysia menggunakan pasport Bangladesh sebelum mendapatkan kad pelarian disertakan bukti kukuh.

Tak mahu respon khabar angin

Memetik laporan daripada Harian Metro, dakwaan berkenaan tidak boleh diberikan respons berdasarkan khabar angin semata-mata, sebaliknya perlu disokong fakta yang jelas.

“Saya tidak mahu memberi respons kepada khabar angin atau dakwaan.
“Kalau ada hujah yang kuat dan bukti yang jelas, barulah saya boleh memberi respons. Setakat ini, perkara itu tidak ada dalam pengetahuan saya,” katanya selepas Wacana Nasional Surah al-Hujurat.

Kenyataan itu menyusul selepas seorang pencipta kandungan memuat naik video tinjauan di Bangladesh yang memaparkan dakwaan seorang lelaki etnik Rohingya menggunakan pasport Bangladesh untuk keluar masuk Malaysia.

Dalam temu bual tersebut, lelaki berkenaan mendakwa dia pada awalnya berada di Malaysia tanpa pasport atau dokumen perjalanan yang sah sebelum memperoleh pasport Bangladesh dengan bantuan kedutaan dan pihak Imigresen.

Dia turut mendakwa ibu bapanya yang menetap di Bangladesh membantu menguruskan dokumen berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, Saifuddin turut menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan berhubung dakwaan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mengasari dua anggota polis.

Beliau memaklumkan kertas siasatan yang mengandungi keterangan saksi serta bukti berkaitan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Itu prosedur siasatan biasa. Pada tahap ini, tidak ada ulasan daripada pihak saya melainkan saya serahkan kepada pihak berkenaan,” katanya.

Terdahulu, AGC dilaporkan memulangkan kertas siasatan berhubung insiden membabitkan Mohd Shuhaily kepada pihak polis untuk siasatan lanjut selepas beberapa aspek perlu diteliti dan dilengkapkan sebelum tindakan seterusnya dimuktamadkan.

Sumber: Harian Metro 

Scroll to Top