asyikin.mat@hmetro.com.my
Putrajaya: Pengalaman 34 tahun dalam sektor perbankan mendorong Zainal Abidin Yahya, 74, untuk terus menabur bakti kepada masyarakat khususnya warga emas selepas bersara.
Penerima Anugerah Emas Ikon Putrajaya kategori lelaki itu aktif dalam lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan warga emas, termasuk menerajui Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Putrajaya sebagai pengerusi.
Zainal Abidin berkata, beliau mula bergiat aktif dalam NGO sejak 2017 kerana mahu menyumbang kepada masyarakat dan membela nasib warga emas.
“Sepanjang menerajui PAWE Putrajaya, saya bersama ahli lain melaksanakan pelbagai program bagi menggalakkan pembabitan aktif warga emas dalam masyarakat.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah memperkenalkan konsep gerontourism atau pelancongan warga emas bagi menarik warga emas dari 190 PAWE di seluruh negara untuk melancong ke Putrajaya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Anugerah Warga Emas Peringkat Wilayah Putrajaya di sini, hari ini.
Anugerah berkenaan disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Selain itu, Zainal Abidin berkata, beliau turut memperkenalkan program Time Banking bagi menggalakkan budaya kesukarelawanan dalam kalangan warga emas menerusi sistem kredit masa.
“Menerusi program itu, setiap jam yang disumbangkan untuk membantu orang lain akan diberikan satu jam kredit kepada warga emas berkenaan. Kredit masa itu boleh ditebus apabila mereka memerlukan bantuan pada masa akan datang.
“Sistem berkenaan membolehkan warga emas saling membantu tanpa melibatkan pembayaran wang, selain menggalakkan mereka terus aktif menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, warga emas yang mempunyai kemahiran dan kepakaran tertentu juga boleh berkongsi ilmu untuk manfaat masyarakat, khususnya golongan seusia mereka.
“Usaha memberi ruang kepada warga emas berkongsi pengalaman penting bagi memastikan kepakaran mereka terus dimanfaatkan, selain membolehkan sumbangan golongan itu terus dihargai,” katanya.
Dalam usaha memperkasa warga emas melalui pendidikan, beliau turut mengusahakan program Sekolah Warga Emas dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM).
Katanya, sebanyak 15 siri program itu dilaksanakan termasuk forum bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan warga emas ketika pandemik COVID-19.
Walaupun program berkenaan ditangguhkan buat sementara waktu, beliau berhasrat menghidupkannya semula bagi meneruskan usaha memperkasa warga emas melalui perkongsian ilmu dan pengalaman.
Sementara itu, Zainal Abidin berkata, antara pencapaian membanggakan PAWE Putrajaya ialah apabila pusat itu menerima pengiktirafan sebagai PAWE Cemerlang peringkat kebangsaan pada 2022 hasil pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




