Kota Bharu: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini mengesahkan perceraian secara taklik membabitkan jururawat selepas suaminya melanggar lafaz taklik dengan menikam wanita itu enam kali di Ketereh, 5 Oktober lalu.
Hakim Mohd Anwan Ab Muttalib membuat keputusan itu selepas mendengar pengakuan lelaki berusia 47 tahun berkenaan dalam prosiding yang berlangsung kira-kira sejam.
Mahkamah mendapati defendan melanggar Seksyen 50 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan 2002, yang memperuntukkan perceraian melalui taklik atau janji bersyarat yang dibuat ketika perkahwinan.
Mohd Anwan berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan perbuatan suami yang menyebabkan kecederaan fizikal terhadap isterinya, sekali gus melanggar syarat yang ditetapkan ketika perkahwinan mereka.
“Selepas mendengar pengakuan defendan, mahkamah hari ini memutuskan untuk membenarkan tuntutan plaintif dan mengesahkan perceraian secara taklik.
“Mahkamah mendapati defendan melanggar lafaz taklik yang dibuat ketika perkahwinan mereka kira-kira enam tahun lalu apabila menikam plaintif sebanyak enam kali sehingga menyebabkan kecederaan serius.
“Plaintif kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II,” katanya.
Plaintif berusia 44 tahun yang bekerja sebagai jururawat memfailkan permohonan perceraian pada 21 September lalu.
Beliau diwakili peguam Sufian Zakaria daripada firma Hafiz Sufian & Co, manakala defendan tidak diwakili peguam.
Terdahulu, lelaki yang masih dalam tahanan reman itu tiba di mahkamah, 8.45 pagi.
Dia direman polis sejak 6 Oktober bagi membantu siasatan berhubung kejadian menikam isterinya di rumah mereka di Kampung Padang Lepai.
Media sebelum ini melaporkan seorang jururawat parah selepas ditikam suaminya sebanyak enam kali di rumah mereka di kampung berkenaan.
- Jururawat parah ditikam diugut bunuh berulang kali, tidak lagi tinggal bersama suami
- Pertikaian cerai disyaki punca suami tikam jururawat enam kali
- Jururawat parah dipercayai ditikam suami 6 kali
© New Straits Times Press (M) Bhd




