Beijing: Juara Olimpik, Zheng Qinwen menjadi pemain China pertama menjuarai Terbuka China selepas menewaskan pemenang Terbuka Perancis, Mirra Andreeva 7-5, 6-4 pada aksi final hari ini.
Qinwen yang menerima tiket wildcard, sedang dalam proses pemulihan selepas terlepas hampir enam bulan akibat kecederaan siku pada lengan kanan dominannya, mempamerkan kembali prestasi terbaik menerusi pukulan forehand bertenaga untuk mengawal rali selain melakukan pukulan kemenangan pantas ke sudut gelanggang yang sukar dijangkau Mirra.
Selepas kedua-dua pemain saling mematahkan servis pada awal perlawanan, Mirra yang menghuni ranking kelima dunia berjaya mendahului 5-4.
Pemain Russia itu hampir memperoleh kelebihan penting apabila pukulan silang gelanggang Qinwen tersasar jauh sebelum pukulan forehand pemain China itu pula tersangkut di jaring.
Bagaimanapun, Qinwen bangkit menyelamatkan tiga mata break untuk mengikat kedudukan 5-5 sebelum mengambil kesempatan terhadap kesilapan Mirra pada permainan berikutnya.
Qinwen kemudian melakukan pukulan backhand pantas untuk memerangkap lawannya itu, sekali gus mematahkan servis Mirra dan memenangi set pertama.
Dalam set kedua, Mirra sekali lagi menyelamatkan tiga mata break ketika kedudukan terikat 4-4.
Namun, Qinwen terus memberikan tekanan sehingga berjaya mematahkan servis lawannya sebelum melakukan pukulan ace tepat pada permainan berikutnya untuk mengesahkan kemenangan.
Kejayaan itu membolehkan Qinwenmerangkul gelaran WTA 1000 pertamanya di laman sendiri, sekali gus melakar sejarah sebagai pemain China pertama menjuarai kejohanan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




