firdaushashim@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Juara lima kali Piala FA, Selangor FC meneruskan pemburuan gelaran keenam selepas mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala FA musim ini meskipun tewas 2-3 di tangan Star City FC pada aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, malam ini.
Kekalahan mengejutkan itu menyaksikan skuad Red Giants kendalian Kim Pan-gon melangkah dengan agregat 6-4 selepas mencatat kemenangan 4-1 pada aksi suku akhir pertama di gelanggang lawan sebelum ini.
Kemenangan Star City di bawah didikan Mehmed Durakovic itu bukan hadir dengan mudah, apabila pelawat terpaksa bangkit di babak kedua untuk meledak tiga gol untuk menewaskan skuad Selangor FC buat pertama kali bagi kedua-dua pasukan.
Selangor tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Zikri Khalili meletakkan pasukan tuan rumah di depan seawal minit kesembilan.
Gol awal itu memberikan kelebihan buat Red Giants untuk mengawal permainan, sekali gus meletakkan Star City dalam keadaan sukar untuk merapatkan jurang agregat.
Selangor kemudian menggandakan kelebihan menerusi penyerang import, Vitor Pernambuco yang menyambut hantaran jauh Syahir Bashah di minit ke-35.
Pemain kelahiran Brazil itu bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum berdepan pertahanan lawan dan tenang menolak bola ke dalam gawang untuk melebarkan kedudukan Selangor kepada 2-0.
Jaringan itu terus menyukarkan tugas pemain Durakovic yang memerlukan kebangkitan untuk menghidupkan peluang mereka dalam perebutan tiket ke separuh akhir.
Pelawat meraih gol saguhati di minit 61 menerusi ledakan Moses Atede yang tidak dikawal dalam kotak penalti selepas satu gerakan menarik daripada sepakan percuma di luar kotak.
Kesilapan Makrillos Peter yang gagal mengawal kemas bola di depan kotak penalti akhirnya memakan diri apabila Pedro Santos Filho berjaya merampas bola untuk dia menyamakan kedudukan di minit 74.
Kelonggaran benteng Selangor FC terus dihukum apabila Ramon Machado muncul wira dengan gol ketiga di minit 90 untuk memberi tamparan hebat kepada Pan-gon.
Kebangkitan itu begitupun masih tidak mampu menghalang tuan rumah apabila kelebihan agregat memberi kelebihan buat Selangor FC.
Kejayaan itu menyaksikan Red Giants kini semakin hampir untuk merebut tempat di final, namun cabaran lebih getir dijangka menanti apabila mereka bertemu Kuching City FC pada aksi separuh akhir nanti.
Kuching City turut mengesahkan tempat ke kelompok empat terakhir selepas menyingkirkan Kelantan City FC dengan agregat 4-1.
Pertembungan itu pastinya menjadi ujian penting buat anak buah Pan-gon dalam usaha meneruskan perjalanan mereka memburu kejuaraan Piala FA musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




