Impian ke China berkecai, Malayan Tigress B-17 akur kepada India

Impian ke China berkecai, Malayan Tigress B-17 akur kepada India

SELAYANG: Hasrat skuad wanita Bawah 17 Tahun (B-17) negara untuk melayakkan diri ke Piala Asia B-17 tahun depan di China tidak kesampaian apabila tewas 0-4 kepada India dalam aksi terakhir Kumpulan E kelayakan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan Malayan Tigress B-17 gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri meskipun mendapat sokongan padu ribuan penyokong yang hadir bagi menyuntik semangat pasukan.

Sebaliknya, India B-17 mempamerkan penguasaan lebih tersusun apabila berjaya mengawal permainan dan melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu pertahanan Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tekanan berterusan yang dilancarkan pasukan pelawat akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-28 menerusi jaringan Redima Chingkhamayum untuk meletakkan India di depan.

Penjaga gol negara, Putri Aina Husna Mohd Subri, bagaimanapun wajar diberikan pujian apabila beberapa kali bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan berbahaya lawan bagi memastikan Malaysia hanya ketinggalan satu gol pada babak pertama.

Namun, benteng pertahanan Malaysia gagal bertahan lama selepas rehat apabila India menggandakan kelebihan menerusi jaringan Pritika Barman pada minit ke-51 sebelum Redima mencetak gol keduanya empat minit kemudian untuk meletakkan pasukan pelawat selesa mendahului 3-0.

Malaysia terus bergelut untuk mencari rentak permainan dan merapatkan jurang jaringan, manakala India kekal mengancam menerusi gerakan serangan yang lebih berkesan.

Ketika perlawanan berbaki empat minit, Nidhi Kumar melengkapkan kemenangan India dengan gol keempat pada minit ke-86 sekali gus mengesahkan kemenangan 4-0 pasukan pelawat.

Keputusan itu memadamkan impian Malayan Tigress B-17 untuk beraksi pada pentas Piala Asia B-17 tahun depan, manakala India mengesahkan tempat di pusingan akhir kejohanan berkenaan.-UTUSAN

Scroll to Top