Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata golongan belia perlu tampil sebagai pemimpin masa kini dan bukan sekadar dianggap pemimpin masa depan, dengan mahasiswa menjadi suara hati nurani masyarakat.
Beliau berkata, golongan muda perlu menerajui wacana semasa serta berani memperjuangkan usaha menentang rasuah, eksploitasi dan ketidakadilan dalam sistem.
“Mengapa kita bercakap mengenai pemimpin masa depan? Apa yang membuatkan anda beranggapan golongan muda bukan pemimpin pada masa ini?” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa (iFUTURE 2026) kali ketiga di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini malam ini.
Mengimbau kembali pengalaman sebagai aktivis mahasiswa, Anwar berkata, beliau sering mempersoalkan pandangan generasi terdahulu yang menganggap golongan muda sebagai pemimpin masa depan, sambil menegaskan mahasiswa sebenarnya mewakili masa kini dan juga masa depan.
“Anda mesti mewakili suara hati nurani masa kini. Masyarakat hari ini tidak boleh berkompromi dengan rasuah, eksploitasi… dan menerima ketidakadilan.
“Itulah suara hati nurani masa kini dan golongan muda mesti memperjuangkan perkara ini dengan segala kekuatan yang ada,” katanya.
Anwar berkata kepimpinan sebenar perlu berteraskan nilai moral dan empati, bukan semata-mata kelayakan akademik, selain mengingatkan golongan muda supaya tidak bersikap angkuh dengan ilmu yang dimiliki.
“Anda mungkin mempunyai PhD dan memegang jawatan profesor, tetapi ada sesuatu yang tidak kena sekiranya ilmu dimiliki tidak digunakan berlandaskan suara hati nurani,” katanya.
Bagi memastikan pemimpin mahasiswa mempunyai ruang untuk berfikir secara kritis dan menyuarakan pandangan, Anwar mengulangi komitmen kerajaan untuk memansuhkan peruntukan yang bersifat mengongkong dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
“Tiada siapa akan didakwa hanya kerana pandangan dan kritikan mereka, termasuk sekiranya pemimpin mahasiswa memilih untuk mengkritik Perdana Menteri. Itu bukan satu jenayah. Anda perlu pertahankan pendirian anda, tetapi mengkritik dasar kerajaan bukan satu jenayah,” katanya.
iFUTURE 2026 bertemakan Redefining Future Leaders Through Value-Based Leadership merupakan inisiatif utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi dengan kerjasama strategik Yayasan Perkasa Siswa dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Sidang kemuncak tiga hari bermula 11 hingga 13 Okt itu menghimpunkan 1,231 pemimpin mahasiswa terdiri daripada 813 peserta Malaysia dan 418 delegasi antarabangsa dari 60 negara, bagi memperkukuh jaringan kepimpinan mahasiswa antarabangsa menerusi wacana intelektual dan libat urus strategik.
Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan timbalannya Adam Adli Abd Halim.
© New Straits Times Press (M) Bhd




