Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) terus memperkukuh usaha menangani risiko banjir di Kelantan menerusi pelaksanaan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang melibatkan tiga fasa utama.
Komitmen terus diperkukuh menerusi pengumuman Belanjawan 2027
Komitmen itu turut diperkukuh menerusi pengumuman Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri pada 9 Oktober lalu apabila PLSB Sungai Golok Fasa 2 disenaraikan sebagai antara projek baharu yang akan dilaksanakan pada 2027.
Timbalan Menteri PETRA, Dato’ Sri Abdul Rahman bin Haji Mohamad bersama pegawai kanan kementerian dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia turut mengadakan lawatan kerja ke tapak projek bagi meninjau kemajuan pelaksanaan serta memastikan kerja berjalan mengikut jadual.
Taklimat Projek di Pejabat Tapak Projek PLSB Sungai Golok Fasa 2 , Halal Hub Pasir Mas
Fasa 1 catat kemajuan fizikal 73.01 %
Setakat 30 September 2026, Fasa 1 mencatat kemajuan fizikal sebanyak 73.01 peratus dan dijangka siap pada Julai 2027.
Fasa ini merangkumi pembinaan ban banjir di Sungai Golok, Sungai Lemal Lanchang dan Sungai Mentua, selain pintu air Kuala Jambu serta beberapa kemudahan sokongan.
Lawatan Tapak PLSB Sg Golok (KESBAN) Fasa 1, Jambatan Pok Teh Kana
Sementara itu, Fasa 2 yang melibatkan pembinaan tembok dwifungsi untuk tebatan banjir dan keselamatan serta penaiktarafan ban kiri Sungai Lemal Lanchang mencatat kemajuan 3.16 peratus dan dijangka siap pada Oktober 2028.
Lawatan Tapak PLSB Sungai Golok Fasa 2, Kompleks ICQS Rantau Panjang
Fasa 3 pula merekodkan kemajuan sebanyak 24.18 peratus dan dijangka siap pada April 2029. Skopnya merangkumi kerja menaik taraf Sungai Pengkalan Nangka, Sungai Meranti, Alor Mengkuang, Sungai Lanas, Sungai Golok dan Danau To’ Uban.
Lawat Tapak PLSB Sg Golok Fasa 3, Sg Meranti (Senor Hilir)
Dalam pada masa yang sama, PETRA menjelaskan bahawa penyesuaian skop serta perubahan reka bentuk merupakan antara faktor yang mempengaruhi tempoh pelaksanaan dan kos projek.
Pelarasan berkenaan mengambil kira perubahan iklim, keadaan sebenar di tapak, keperluan infrastruktur serta permintaan penduduk setempat, termasuk aspek pengambilan tanah, jajaran dan kapasiti sistem saliran.
Menurut kementerian itu lagi, langkah berkenaan penting bagi memastikan infrastruktur yang dibangunkan mampu memberikan perlindungan banjir jangka panjang dengan lebih berkesan, mampan dan selamat kepada penduduk di kawasan berisiko.
Difahamkan, PETRA dan JPS turut menegaskan komitmen untuk meneruskan pemantauan serta memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan bagi memastikan projek dilaksanakan secara telus, bertanggungjawab dan mengutamakan kesejahteraan rakyat.




