mohdsyazwan@hmetro.com.my
Selayang: Semangat juang skuad bola sepak remaja wanita negara tetap mendapat penghargaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meskipun impian mereka melangkah ke pusingan akhir Piala Asia Wanita B-17 2027 di China tidak kesampaian.
Anwar menyifatkan usaha dan keberanian yang ditampilkan pemain sepanjang kejohanan wajar diberikan pujian, selain berharap pengalaman itu menjadi pembakar semangat untuk mereka bangkit lebih kuat pada kejohanan akan datang.
“Syabas atas usaha dan keberanian yang ditampilkan sepanjang kejohanan. Jadikan pengalaman ini sebagai pembakar semangat untuk bangkit lebih kuat dan melakar kejayaan dalam kejohanan akan datang.
“Teruskan melangkah, Malaysia!” katanya menerusi perkongsian di media sosial miliknya.
Kata-kata semangat itu hadir selepas skuad negara kendalian Takayoshi Ishihara tewas 0-4 kepada India pada aksi terakhir Kumpulan E kempen kelayakan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia terpaksa melupakan hasrat beraksi pada pentas tertinggi Asia selepas India mempamerkan penguasaan permainan lebih meyakinkan untuk menutup kempen dengan kemenangan bergaya.
Skuad India kendalian Joakim Bernt Alexandersson memulakan perlawanan dengan corak permainan pantas, selain melancarkan serangan bertali arus terutama menerusi bahagian kiri pertahanan negara.
Seawal minit kedua, Silky Devi Sorokhaibam hampir mengancam gawang Malaysia, namun pertahanan negara, Nisriena Batrissya Mohd Azhar, pantas bertindak mematahkan gerakan pemain India itu.
Gawang Malaysia sekali lagi terselamat pada minit keenam apabila tandukan Nira Chanu Lonjam sekadar menggegar palang sebelum bola dikeluarkan pertahanan negara, manakala percubaan Alva Devi Senjam pada minit ke-12 berjaya ditepis penjaga gol, Putri Aina Husna Mohd Subri.
Tekanan berterusan India akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-29 apabila Redima Devi Chingkhamayum melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan Putri Aina Husna untuk meletakkan pasukannya di depan 1-0.
Memasuki babak kedua, Malaysia cuba mengubah rentak permainan menerusi kemasukan Isabella Saffiya O Luanaigh, Qaseh Riana Dafira Mohd Rafiuddin dan Aisyah Nur Iman Mohd Fuad, namun perubahan itu belum cukup untuk menyekat kemaraan lawan.
India terus menghukum kelemahan benteng negara apabila Pritika Barman meledak gol kedua pada minit ke-51 sebelum Anushka Kumari menambah derita Malaysia tiga minit kemudian menerusi rembatan dari luar kotak penalti untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Malaysia berusaha mencari gol untuk merapatkan jurang, terutama menerusi Isabella Saffiya yang juga cucu cef selebriti terkenal negara, Chef Wan atau Datuk Redzuawan Ismail, namun barisan serangan negara gagal menghasilkan penyudah berkesan.
India melengkapkan kemenangan 4-0 menerusi Nidhi Kumar yang bijak mengelecek pertahanan Malaysia sebelum menyudahkan peluang ketika perlawanan berbaki lima minit.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia mengakhiri kempen Kumpulan E di tempat kedua, namun gagal memperoleh tiket ke pusingan akhir Piala Asia Wanita B-17 2027 di China.
© New Straits Times Press (M) Bhd




