Van Dijk hormat persaingan, isu City cerita berbeza

Van Dijk hormat persaingan, isu City cerita berbeza

Liverpool: Kapten Liverpool, Virgil van Dijk berjanji akan menyuarakan pandangannya mengenai pertuduhan pelanggaran peraturan kewangan yang dihadapi Manchester City selepas situasi berkenaan benar-benar selesai.

City membelasah Liverpool 3-0 di Anfield, pagi tadi, dalam aksi pertama mereka selepas didapati bersalah melanggar peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Selepas 60 minit tanpa jaringan, City mula menguasai permainan apabila pemain tengah Liverpool, Ryan Gravenberch dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua.

Erling Haaland memecah kebuntuan hanya tiga minit selepas Gravenberch diperintahkan keluar padang sebelum Jeremy Doku menggandakan kelebihan City menerusi rembatan lencong yang menarik.

Rayan Cherki melengkapkan kemenangan pada minit ke-78, sekali gus memastikan aksi pertama City selepas didapati melakukan pelanggaran serius peraturan kewangan berakhir dengan kemenangan besar.

Mengulas keputusan berkenaan selepas kekalahan mengecewakan Liverpool, Van Dijk berkata dia enggan memberikan komen kerana proses berkenaan masih berjalan.

“Satu-satunya perkara yang boleh saya katakan ialah saya sangat menikmati persaingan antara kedua-dua pasukan.

“Namun, persaingan itu berlaku di atas padang, manakala perkara yang berlaku di luar padang adalah cerita yang berbeza sama sekali.

“Memandangkan perkara ini masih berjalan, saya rasa bukan idea yang baik untuk memberikan komen buat masa ini.

“Apabila semuanya benar-benar selesai, saya pasti akan berkongsi pandangan saya. Namun, buat masa ini, kita tunggu dan lihat,” katanya.

Mengulas perlawanan itu, Van Dijk berkata Liverpool mempamerkan aksi baik pada babak pertama dengan intensiti permainan yang tinggi, namun mengakui pasukannya sepatutnya memanfaatkan beberapa peluang ketika melakukan serangan balas.

“Babak pertama kami bermain dengan baik. Kami menunjukkan intensiti dan boleh melakukan lebih baik dalam beberapa situasi ketika melancarkan serangan balas.

“Peluang yang ada bukanlah peluang besar, tetapi kami menunjukkan keinginan untuk menang dan intensiti itu adalah perkara paling asas yang perlu ditampilkan.

“Kad merah pada babak kedua mengubah permainan, terutama apabila kami dibolosi tidak lama selepas itu. Kami terpaksa meneruskan perlawanan dengan 10 pemain dan jaringan pantas City menjadikan perlawanan semakin sukar,” katanya.

Van Dijk turut menyifatkan suasana di Anfield sentiasa hebat, berdasarkan pengalamannya beraksi dalam banyak perlawanan besar di gelanggang berkenaan.

“Suasana di sini sentiasa hebat. Saya bertuah kerana berpeluang beraksi dalam banyak perlawanan besar di sini.

“Mungkin pengalaman pemain lain berbeza, tetapi saya bersedia untuk bersaing dan saya rasa kami membuktikannya, terutama pada babak pertama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top