CHIBA – Dua jururawat wanita di Matsudo, Wilayah Chiba, Jepun, dipecat selepas merakam video pesakit dalam keadaan terlantar di hospital tanpa kebenaran sebelum memuat naiknya di media sosial.
Seorang lagi jururawat yang melihat kandungan tersebut dalam kumpulan berkenaan diberikan amaran keras.
Hospital Chiba Nishi General yang dikendalikan Kumpulan Perubatan Tokushukai mengumumkan tindakan disiplin itu pada Sabtu, lapor Sankei Shimbun.
Kejadian berlaku ketika syif malam pada 5 Oktober apabila kedua-dua jururawat berkenaan merakam seorang pesakit yang sedang terlantar di katil dan mengambil swafoto di dalam hospital tanpa kebenaran.
Video berkenaan kemudian dimuat naik ke platform X dengan kapsyen seperti ‘sangat bosan’, ‘rumah neraka’ dan ‘kerja ini teruk’.
Pengarah hospital, Kazuo Misumi, menerusi laman web rasmi hospital memaklumkan bahawa kandungan yang langsung tidak sesuai dengan profesion penjagaan kesihatan itu telah dimuat naik ke media sosial.
Beliau turut memohon maaf berhubung kejadian tersebut.
Pada Jumaat, pihak hospital memohon maaf kepada keluarga pesakit yang dirakam dan melaporkan insiden itu kepada pihak berkuasa bandar serta pusat kesihatan awam.
Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, pihak hospital merancang mengadakan latihan kepada kakitangan mengenai penggunaan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab.



