Liverpool: Pengurus Liverpool, Andoni Iraola dan bekas pemainnya, Jamie Carragher berpendapat Ryan Gravenberch menerima layanan tidak adil daripada pengadil Chris Kavanagh yang melayangkan kad merah kepada pemain tengah itu ketika kekalahan 0-3 kepada Manchester City, pagi tadi.
Ketika perlawanan di Anfield masih terikat tanpa jaringan dan Liverpool mula menguasai permainan, Gravenberch dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-62, sekali gus memaksanya meninggalkan padang.
Pemain antarabangsa Belanda itu mempamerkan aksi cemerlang dan boleh dianggap antara pemain terbaik Liverpool dalam perlawanan berkenaan. Namun, penyingkirannya mengubah keseluruhan rentak permainan.
Hanya tiga minit selepas Gravenberch diperintahkan keluar padang, Erling Haaland meletakkan City di depan sebelum Jeremy Doku dan Rayan Cherki turut mencetak gol untuk melengkapkan kemenangan 3-0 pada minit ke-78.
Kemenangan itu membolehkan City meneruskan rekod sempurna dalam EPL selepas enam perlawanan, meskipun kelab berkenaan berdepan kontroversi berkaitan kes pelanggaran peraturan kewangan.
Iraola mempersoalkan keputusan Kavanagh memberikan kad kuning pertama kepada Gravenberch susulan kekasaran terhadap Elliot Anderson.
“Kad kuning pertama itu tidak sepatutnya diberikan. Anderson masih mampu berlari beberapa langkah dan pengadil pada awalnya tidak pun mahu memberikan sepakan percuma.
“Saya tidak faham mengapa dia memberikan kad kuning. Ketika itu, kami mempunyai kira-kira sembilan pemain di belakang bola.
“Menekan mereka ketika kedua-dua pasukan mempunyai 11 pemain pun sudah sukar. Apabila kekurangan seorang pemain, permainan berubah sama sekali. Kami kemudian dibolosi sebelum sempat melakukan pertukaran pemain. Apabila ketinggalan 0-1, anda perlu bermain dengan cara berbeza,” katanya.
Carragher turut bersetuju dengan pandangan itu ketika bertugas sebagai pengulas.
“Keputusan itu kelihatan terlalu keras apabila melihat kedua-dua kekasaran berkenaan.
“Kekasaran pertama tidak sepatutnya menerima kad dan pengadil terlalu cepat mengeluarkan kad kuning,” katanya.
Bekas tonggak Liverpool itu kemudian mengkritik keputusan pengadil dengan lebih keras selepas perlawanan.
“Keputusan pengadil itu sangat buruk. Apa yang mengecewakan saya ialah dia pada awalnya tidak mahu memberikan kad kuning.
“Dia menyangka Anderson mengalami kecederaan. Sebaik sahaja dia merasakan Anderson mengalami kecederaan serius, barulah kad kuning diberikan. Kekasaran itu pun hampir tidak boleh dianggap sebagai kekasaran. Ini keputusan yang amat mengejutkan,” katanya.
Walaupun kecewa dengan keputusan perlawanan, Iraola tetap memuji Gravenberch dan pemain lain atas usaha yang dipamerkan.
“Dia bermain dengan sangat baik hari ini. Dia membawa bola dengan baik dan bertahan dengan cemerlang.
“Saya sangat bangga dengan pemain hari ini. Bukan mudah untuk berdepan situasi seperti ini, tetapi mereka menunjukkan intensiti dan kesungguhan dalam perebutan bola.
“Penyokong juga berada pada tahap terbaik. Sokongan mereka luar biasa sejak kami tiba. Kad merah itu berlaku ketika kami sedang berada pada tahap permainan terbaik. Selepas itu pun, mereka tetap menghargai usaha pemain,” katanya.
Pandangan bahawa kad kuning pertama Gravenberch terlalu mudah diberikan turut dikongsi bekas pertahanan Manchester City, Micah Richards.
“Kita bercakap mengenai kad kuning itu. Keputusan itu terlalu mudah! Bagaimana kekasaran itu boleh menerima kad kuning? Saya tidak faham,” katanya.
Bekas penyerang Liverpool, Daniel Sturridge pula menyifatkan keputusan melayangkan kad merah kepada Gravenberch sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




