Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Isnin, disokong oleh komitmen kerajaan terhadap disiplin fiskal susulan pembentangan Belanjawan 2027 Jumaat lepas.

Pada jam 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.0820/0880 berbanding dolar AS daripada 4.0830/0875 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, komitmen kerajaan terhadap disiplin fiskal dapat dilihat daripada sasarannya untuk menurunkan defisit fiskal kepada 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2027 daripada anggaran 3.6 peratus tahun ini.

Beliau berkata, pendekatan pragmatik itu akan membantu mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia, memberikan sokongan kukuh kepada ringgit.

Bagaimanapun katanya, keadaan luaran kekal tidak menentu, terutamanya perkembangan di Asia Barat dan potensi impaknya terhadap harga minyak mentah global.

“Oleh itu, tumpuan akan diberikan kepada sama ada Rizab Persekutuan (Fed) AS akan mempertimbangkan untuk menaikkan lagi kadar faedah pada bulan ini.

“Justeru, kami menjangka ringgit-dolar AS akan mengekalkan kecenderungan pada jajaran kecil hari ini,” katanya kepada Bernama.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama dan ASEAN.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding pound kepada 5.4038/4117 daripada 5.4063/4123 semasa ditutup pada Jumaat lepas dan meningkat berbanding euro kepada 4.5735/5802 daripada 4.5807/5858 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit rendah berbanding yen Jepun kepada 2.5806/5846 daripada 2.5791/5821 pada Jumaat lepas.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1876/1928 daripada 3.1896/1934 semasa ditutup pada Jumaat lepas dan baht Thailand kepada 12.1720/1957 daripada 12.1735/1909 sebelum ini.

Mata wang tempatan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 228.0/228.4 daripada 228.1/228.4 semasa ditutup pada Jumaat lepas dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 6.50/6.51.- Bernama

Scroll to Top